Kolumnis tetap Cikgu Saham di UtusanBiz, Zuraida Mohd. Zakaria berkata, pelabur sentiasa berdepan dengan dilema terutama apabila saham yang dibeli itu rugi dan tidak pula mengetahui tempoh yang bersesuaian untuk menjualnya kembali.

Katanya, masalah yang dihadapi kebanyakan pelabur ialah tidak mengetahui strategi yang betul kerana untuk mendapatkan pulangan menguntungkan, seseorang pelabur perlu memahami selok-belok pasaran saham.

“Misalnya, saya mempunyai pe­langgan yang berurusniaga saham, ada yang beli saham dan kemudian harga jatuh, dia jual tapi selepas jual, harga saham naik kembali. Bila beli dan simpan pula untuk tempoh tertentu, ia tidak bergerak-gerak.

“Sebenarnya, kita perlu bijak tangani masalah ini. Kita sepatutnya tunggu dan jangan jual lagi, jual pada harga maksimum. Jangan beli ketika pasaran saham jatuh sebaliknya biar jatuh dalam tempoh tertentu dan kemudian baru beli,” katanya.

Beliau berkata ketika berkongsi panduan dan strategi pasaran saham ketika menyampaikan ce­ramah bagi sesi bertajuk ‘Menangani masalah dalam urus niaga saham’ pada Simposium Saham Utusan 2017 di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Technology Park Malaysia yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Ahmad Fauzi Zahari. Yang turut hadir, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Simposium yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu dipenuhi dengan perkongsian ilmu daripada panel penceramah dan juga aktiviti sampingan yang turut disediakan oleh penganjur antaranya jualan harga runtuh produk eksklusif Kumpulan Utusan dan cabutan bertuah.

Bagi mencipta kelainan dalam program yang julung-julung diadakan itu, kumpulan Mustika Ventures menghiburkan peserta dengan mempersembahkan tari­an kebudayaan.

Dalam pada itu, Zuraida yang juga wakil peniaga berdaftar/penganalisis pasaran saham PM Securities Sdn. Bhd. berkata, berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap Simposium Saham Utusan, beliau akan mempertimbangkan cadangan supaya ia diadakan lebih kerap pada masa akan datang.

“Saya sangat berharap de­ngan kerjasama Utusan dapat memperluaskan program ini dan pada masa sama mempromosikan ko­lum tetap saya di UtusanBiz. Saya mahu mereka mendapat pendedahan dan menceburi pa­saran saham selepas menyertai program ini,” katanya.