Begitu juga jika anda pemilik jenama yang mempunyai pelanggan daripada sektor korporat, kaedah yang bagaimana pula sesuai bagi tujuan tersebut. Bagaimana pula kaedah pemasaran yang sesuai sekiranya anda merupakan seorang profesional biasa yang sentiasa mengharapkan tawaran pekerjaan baharu dan lebih baik?

Masing-masing tidak boleh mempunyai kaedah sama atau bakal berhadapan dengan risiko tidak mampu mendapatkan hasil dikehendaki dalam masa yang paling diperlukan.

* Usahawan perkhidmatan runcit

Tidak kira sama ada anda menawarkan produk atau perkhidmatan berasaskan runcit seperti perkhidmatan kawalan serangga, menjual tudung wanita, kedai dobi layan diri, restoran, kedai runcit, menjual alat tulis, kedai membaiki kenderaan dan pelanco­ngan, anda perlu sedar tentang siapa pelanggan anda.

Mereka terdiri daripada individu ataupun pemilik perniagaan kecil yang membeli menggunakan wang mereka sendiri. Ini dikenali sebagai pelanggan runcit.

Biasanya di manakah perhatian mereka berada? Platform pemasaran yang paling sesuai untuk golongan pelanggan runcit ini ialah di Facebook, Instagram, ejen dan direktori-direktori yang terdapat dalam talian.

Anda harus mempunyai laman web sendiri, tetapi sekira­nya tidak mampu tidak me­ngapa. Memandangkan saiz perniagaan masih kecil, anda masih boleh dijumpai di Google melalui ketiga-tiga platform ini.

Yang penting, anda perlu mengumpul dan membina pengikut seramai mungkin di Facebook dan Instagram. Dalam masa sama, bina juga seberapa ramai ejen yang boleh untuk membantu anda menjual de­ngan lebih cepat lagi.

Usahawan produk kepada pelanggan korporat

Berbeza pula dengan anda yang mempunyai produk atau perkhidmatan yang sesuai untuk golongan korporat. Biasa­nya yang membuat keputusan untuk membeli bukan terdiri daripada seorang sahaja tetapi mungkin empat orang atau lebih.

Peruntukan kewangan perlu diluluskan terlebih dahulu dan kata akhir pembelian mungkin perlu diberi kata putus oleh seorang ketua pegawai eksekutif.

Di sini, platform pemasaran yang paling efektif ialah laman web korporat anda, LinkedIn, ejen dan juga direktori-direktori yang terdapat dalam talian. Laman web korporat sangat penting kerana individu yang membuat keputusan bia­sanya akan meneliti terlebih dahulu kredibiliti anda.

Kemudian mereka akan meneliti pula kredibiliti anda dan pasukan sebagai pekerja syarikat dan LinkedIn adalah platform yang mereka akan buka bagi mendapatkan maklumat. Mereka akan melihat bagaimana aktiviti anda di sini, penga­ruh dan status-status yang anda muat naik di platform ini.

Ejen di sini bermaksud mereka yang memberi maklumat terkini kepada anda tentang peluang-peluang yang ada di pasaran untuk direbut dengan segera, jauh lebih awal daripada pesaing yang lain manakala direktori dalam talian pula ialah untuk anda menumpang populariti kedudukan ranking mereka di Google.

* Golongan profesional

Satu soalan untuk anda jawab. Di manakah platform eksekutif agensi pekerjaan melepak, ketua-ketua jabatan sumber manusia berada di dalam talian atau individu-individu penting dalam pihak pengurusan tertinggi syarikat-syarikat besar melepak di alam maya?

Betul, jawapannya ialah di LinkedIn. Ia merupakan rangkaian media sosial terbesar di dunia bagi golongan profesional. Jadi anda perlu berada di sini. Profil profesional anda perlu berada di sini.

Anda perlu melihat LinkedIn ini seolah-olah satu majlis atau sesi networking profesional yang mana berjuta-juta profesional sedang berinte­raksi di antara satu sama lain di sini. Bayangkan sekiranya ia wujud secara fizikal, tentu anda akan berpakaian formal dan segak untuk menghadiri sesi networking di sini, betul?

Tetapi memandangkan ia hanya di internet, jadi anda cuma perlu pastikan profil diutamakan untuk menarik perhatian orang lain. Gambar profil perlu formal, imej banner juga perlu selari dengan gambar profil dan penulisan profil juga perlu jelas, kemas dan mudah difahami.

LinkedIn bukan seperti Facebook, Twitter atau Instagram daripada aspek tingkah laku anda. Ia lebih formal dan profesional kerana turut melam­bangkan status anda secara offline.