Bencana yang dikaitkan de­ngan kejatuhan harga minyak mentah dunia ialah pembuangan atau menamatkan kontrak pekerjaan syarikat-syarikat ber­kai­tan minyak dan gas (O&G), kemerosotan keuntungan yang dialami oleh syarikat-syarikat di dalam industri minyak dan gas yang merencatkan pertumbuhan industri minyak dan gas seterusnya menggugat pendapatan negara.

Kesan paling ketara ialah sumbangan syarikat minyak negara, Petroleum Nasional Berhad atau Petronas kepada kerajaan telah menyusut dari segi pembayaran dividen, cukai dan royalti, justeru memperlahankan pembangunan negara ke arah pembentukan negara maju.

Banyak syarikat penyenaraian awam di Bursa Malaysia menghadapi situasi itu yang seterusnya mengakibatkan harga saham syarikat-syarikat berkaitan minyak dan gas jatuh dengan banyak sejajar dengan kejatuhan harga minyak mentah di pasaran dunia.

Terdapat syarikat penyena­raian awam di Bursa Malaysia yang mengalami kejatuhan harga saham yang teruk sehinggakan diklasifikasikan di bawah saham-saham PN17 atau saham bertanda disebabkan syarikat mengalami kerugian yang banyak dan berterusan serta menghadapi pelbagai masalah dalaman.

Setelah harga pasaran minyak mentah dunia mengalami kejatuhan yang banyak, perge­rakan ini seterusnya bergerak secara mendatar sahaja untuk beberapa tahun dan perubahan turun dan naik hanya berada di dalam jajaran sempit. Pergerakan ini tidak berapa ketara untuk mempengaruhi harga-harga saham syarikat tersenarai di papan Bursa Malaysia.

Dalam erti kata lain, tiada pemangkin yang boleh mempengaruhi harga saham syarikat tersenarai yang berkaitan minyak dan gas ini. Maka, pelabur yang telah membuat pelaburan jangka panjang di syarikat-syarikat minyak dan gas semasa harga minyak mentah dunia berada pada paras tertinggi mengalami kerugian yang besar.

Terdapat saham syarikat tersenarai yang berkaitan minyak dan gas yang harga sahamnya telah mencecah paras terendah atau all time low dalam sejarah pasaran Bursa Malaysia bagi tempoh yang lama. Maka, ramai pelabur dan pedagang saham menjauhkan diri daripada membuat pelaburan jangka panjang mahupun jangka pendek di dalam sektor minyak dan gas ini.

Ini disebabkan ada yang menanggung kerugian sehingga 70 peratus kerana masih menyim­pan saham-saham tersebut. Ini tidak termasuk yang telah membuat penjualan awal semasa harga saham dalam pro­ses penurunan.

Yang jelas, pelabur dan pedagang saham perlu ada ilmu pelaburan sebelum melibatkan diri dalam dunia saham. Pedagang dan pelabur saham perlu tahu faktor-faktor yang mempengaruhi turun naik harga saham.

Kesan turun naik harga pasaran minyak mentah dunia ke atas pasaran saham walau bagaimanapun boleh dimanfaatkan oleh pelabur dan pedagang saham masa kini. Sebagai contoh, setelah kita memerhatikan sekian lama pergerakan harga pasaran minyak mentah dunia serta harga saham syarikat tersenarai di Bursa Malaysia, kita dapati terdapat pergerakan yang selari pada keduanya.

Sebagai contoh, jika harga pasaran minyak mentah dunia semakin naik, harga saham-saham syarikat tersenarai di sektor minyak dan gas juga akan turut naik. Begitu juga sebaliknya jika harga pasaran minyak mentah dunia turun, harga saham syarikat tersenarai di sektor ini juga akan cenderung turun.

Kesan kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia boleh dilihat pada minggu lepas. Saham-saham syarikat di sektor minyak dan gas mengalami satu pergerakan yang aktif dan menaik disebabkan harga minyak mentah di pasaran dunia me­ngalami aliran kenaikan.

Maka, keadaan turun naik harga minyak mentah dunia boleh dimanfaatkan ke atas aktiviti jual dan beli saham di Bursa Malaysia. Secara logiknya, nampak mudah tetapi sedikit kajian perlu dibuat dari segi analisis teknikal dan juga fundamental.

Oleh kerana krisis kewangan Asia tahun 1997 dan kejatuhan harga pasaran minyak mentah dunia terjadi pertama kalinya di negara kita, ia merupakan pengalaman dan panduan kepada generasi akan datang.

Setiap peristiwa dan kejadian itu merupakan satu panduan agar kita bersedia di masa hadapan. Oleh sebab itu kejadian dan maklumat tentang pasaran saham disampaikan di ruangan ini sebagai panduan pelabur dan pedagang generasi baharu.

Kepada yang ingin mempelajari cara-cara melabur di pasaran saham Bursa Malaysia boleh mengisi borang pendaftaran di http://tinyurl.com/investrade2017