Maksudnya, bila seseorang itu ingin menjadi pelabur jangka masa panjang, ilmu yang sesuai ialah ilmu untuk membuat kajian berdasarkan analisis fundamental, iaitu mengkaji asas-asas fundamental sesebuah syarikat tersenarai termasuk kajian setiap butir yang terdapat di dalam laporan kewangan syarikat tersebut secara terperinci.

Pelabur jangka masa panjang ini tidak perlu mengambil berat tentang faktor persekitaran atau faktor luaran yang boleh mempengaruhi harga turun naik pasaran kerana mereka merasakan faktor-faktor ini tidak mengganggu atau mempe­ngaruhi turun naik harga saham syarikat tersenarai yang dibeli.

Sebagai contoh, matlamat pelabur jangka panjang ini ialah membeli dan menyimpan saham syarikat tersenarai untuk mendapat pulangan yang lumayan. Juga, tidak perlu melihat harga saham turun naik sepanjang hari atau setiap waktu.

Apa yang terjadi dalam dunia saham tidak diambil perhatian dan mereka jarang memantau saham yang dibeli atau membaca berita-berita semasa berkaitan pasaran saham. Ini disebabkan mereka akan menjual saham tersebut selepas cukup tempoh pegangan. Contohnya, matlamat mereka membeli saham ialah untuk tempoh 5 tahun. Maka apabila genap tempoh 5 tahun ini, mereka akan mula menyemak harga-harga saham di dalam portfolio pelaburan.

Berdasarkan teori ini, konsep beli dan simpan untuk 1 tempoh masa sebagai pelaburan jangka masa panjang nampaknya mudah. Tetapi pada hakikatnya, ramai pelabur yang tewas dari segi emosi disebabkan wang pelaburan yang digunakan sebagai modal pelaburan itu me­rupakan wang untuk kegunaan perbelanjaan harian dan sebagai tabungan kecemasan.

Keadaan ini banyak berlaku apabila ramai pelabur yang meminta nasihat saya berkenaan saham-saham yang dibeli itu tidak naik atau semakin jatuh harganya walaupun mereka te­lah menyimpannya untuk satu tempoh yang lama.

Kebanyakan pelabur yang meminta nasihat ini baharu membeli saham dan memegang saham tersebut untuk tempoh beberapa bulan atau kurang dari 2 tahun. Dan saham-saham yang dibeli ini menurut mereka, merupakan saham-saham yang terdiri dari pelbagai sektor dan kategori.

Terdapat juga yang membeli saham yang tidak mempunyai asas fundamental yang kukuh untuk pelaburan jangka masa panjang. Juga, ada yang membeli saham yang mereka sendiri tidak tahu jenis saham tersebut. Sebagai contoh, mereka membeli waran yang hampir tamat tempoh disebabkan tertarik dengan harganya yang murah. Dan mereka ingin menjadikan saham waran ini (termasuk waran berstruktur) sebagai pelaburan jangka masa panjang.

Banyak kesalahan yang dilakukan oleh pelabur dari dahulu hingga sekarang disebabkan melabur saham tanpa mempelajari cara-cara yang betul untuk melabur dalam pasaran saham. Mereka membuat andaian bahawa beli saham itu semestinya akan memberikan hasil seperti yang diingini tanpa memikirkan harga saham boleh jatuh sejurus selepas beli.

Strategi cut loss juga selalu diamalkan oleh pelabur dan pedagang saham. Sebagai contoh, bila saham yang dibeli atau disimpan itu jatuh, maka mereka akan terus jual saham tersebut untuk mengelakkannya dari jatuh lebih banyak lagi.

Walhal, kadang-kala kejatuhan itu merupakan satu kejatuhan yang bersifat sementara disebabkan oleh jualan paksa yang dikenakan ke atas pemain kontra dan sebagainya. Juga, matlamat beli simpan untuk satu tempoh masa yang lama terus terpadam disebabkan mereka mengamalkan konsep cut loss ini. Dalam pengertian lain, jika harga saham jatuh, pelabur atau pedagang saham perlu jual saham tersebut untuk mengelakkan dari menanggung kerugian yang lebih besar.

Penjelasan tentang bagaimana mengguna pakai kaedah cut loss dalam transaksi saham telah dihuraikan minggu lepas. Cut loss dibolehkan tetapi dengan strategi yang betul dan bukan semberono atau tanpa ilmu dan tidak kena masa dan keadaan pasaran saham ketika cut loss ini dibuat.

Justeru, bakal pelabur dan pedagang saham perlu memilih modul dan tenaga pengajar yang bersesuaian dengan matlamat dan kehendak pelaburan anda kerana untuk menjadi pelabur dan pedagang saham yang mahir serta boleh berdikari dalam membuat keputusan beli dan jual saham yang baik perlu seorang penasihat yang baik dan dapat memberikan tunjuk ajar untuk satu tempoh yang lama.

Di samping tunjuk ajar dan bimbingan, pelabur dan pedagang saham juga perlu membuat pembelajaran dan pembacaan sendiri serta mengikuti perkembangan semasa pasaran saham.