Kementerian tersebut dalam satu kenyataan memberitahu, dalam masa sama pihaknya akan terus komitmen memastikan nasib peneroka Felda terus terbela melalui pemberian Bantuan Sara Hidup kepada mereka.

“Keutamaan aktiviti Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada 2019 ialah antara lain menyiapkan kertas putih mengenai pelan pemulihan Felda. Bersama Kementerian Kewangan, kementerian turut terlibat dalam pelan pemulihan Lembaga Tabung Haji bagi memperkukuhkan kembali institusi ikonik berkenaan.

“Usaha juga telah dimulakan untuk meneliti kedudukan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan menangani cabaran di institusi berkenaan,” menurut kementerian itu hari ini.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi itu turut memberitahu telah memulakan proses penyediaan rangka pembangunan Pasca 2020 dalam menentukan hala tuju pembangunan sosioekonomi negara bagi jangka masa yang lebih panjang.

Dalam hubungan ini, katanya kementerian berkenaan akan menerajui beberapa kajian sosioekonomi mengenai cabaran-cabaran masa hadapan, termasuklah antara lain kajian mengenai revolusi perindustrian keempat bagi memastikan negara bersedia untuk menghadapi impak daripada ledakan teknologi yang akan menukar gaya hidup masyarakat.

“Kami turut sedang menyemak semula proses dan mekanisme perancangan sedia ada bagi menambah baik perancangan pembangunan negara.

“Penglibatan pelbagai pihak dan aspirasi rakyat akan diambil kira dalam merangka pembangunan negara agar pertumbuhan ekonomi terus bermakna, bersifat inklusif dan holistik serta mampu membawa Malaysia menjadi semula sebuah negara yang dikagumi,” katanya. – UTUSAN ONLINE