Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood berkata, usaha itu boleh dicapai menerusi program e-Usahawan yang dilaksanakan MDEC dan sehingga kini telah melatih kira-kira 150,000 peserta di seluruh negara.

Menurut beliau, program itu juga terbukti mampu melahirkan usahawan dalam kalangan Orang Asli apabila seorang pemuda dari Kampung Orang Asli Ulu Chembong di sini, Helmi Naim Ahmad, 23, muncul antara usahawan berjaya.

“Helmi mengikuti e-Usahawan tahun lalu dan dengan adanya program itu, dia mampu menjana jualan produk kraf tangannya yang meningkat empat kali ganda berbanding sebelum menyertai program tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Negaraku Turun Padang @Rembau di Temuan Abo Craft di Kampung Orang Asli Ulu Chembong di sini hari ini.

Yasmin memberitahu, berdasarkan kemampuan yang ditunjukkan Helmi, MDEC akan membantunya membuka pusat komuniti pembe­lajaran e-Usahawan di kampung itu yang akan memberi manfaat kepada penduduk.

Katanya, langkah itu akan dapat memberi pendedahan kepada Orang Asli untuk menjana pendapatan tambahan terutama dalam industri ekopelancongan.

Sementara itu, Helmi berkata, melalui program e-Usahawan yang disertainya, dia kini mampu memasarkan produknya secara lebih meluas melalui internet berbanding menerusi pameran sebelum ini.

“Sebelum tahun 2017, saya hanya meraih pendapatan tahunan sebanyak RM128,000 menerusi jualan di pameran-pame­ran yang disertai di seluruh negara namun, selepas menyertai e-Usa­hawan tahun lalu, pendapatan meningkat kepada RM340,000 setahun,” katanya.