Menurut MIDF Research, bagi setiap 100 peluang pekerjaan, 78 daripadanya adalah di peringkat pekerjaan kemahiran rendah diikuti 12 pekerjaan di peringkat operator dan pemasangan dan hanya 10 pekerjaan sahaja memerlukan kemahiran tinggi dan sederhana.

Bagaimanapun, katanya, ali­ran pengambilan pekerja ini adalah sejajar dengan peningkatan kerja kosong dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyaksikan peningkatan semula dalam aktiviti eksport bagi sektor perdagangan luar Malaysia.

“Kesannya, pekerjaan ber­nilai rendah ini akan meningkatkan pengangguran dalam kalangan lepasan universiti, meningkatkan penyertaan pe­kerja asing berkemahiran rendah, pertumbuhan gaji yang perlahan dan penggunaan domestik yang lemah,” katanya dalam nota kajian di sini baru-baru ini.

Firma penyelidikan itu meng­unjurkan kadar pengangguran di Malaysia akan mencatat purata 3.3 peratus pada tahun ini.

Peluang pekerjaan pula kekal rendah di bawah purata seperti dicatatkan pada 2017. Dalam tempoh 10 bulan pertama 2018, ia merekodkan purata 92,300, lebih rendah berbanding 123,000 tahun sebelumnya.

Pada Oktober 2018, jumlah kerja kosong ialah sebanyak 103,000 dengan kebanyakannya disumbangkan oleh sektor se­perti berkemahiran rendah, pembuatan dan pembinaan. Bagi pembuatan terdapat pe­ningkatan daripada 27,300 pada bulan sebelumnya kepada 40,600 pada Oktober. Sektor pertanian pula menurun daripada 9,000 kepada 20,000.

“Kami menjangkakan terdapat penambahbaikan dalam peluang pekerjaan terutama bagi sektor pembuatan di te­ngah-tengah permintaan global yang kekal kukuh terutama kesan perang dagangan semakin berkurangan,” katanya.

MIDF Research mengunjurkan peluang pekerjaan akan meningkat secara berperingkat sekitar 90,000 hingga 100,000 tahun ini memandangkan keyakinan dan kestabilan yang semakin kukuh dari semasa ke semasa terhadap kerajaan baharu dan Belanjawan 2019.

“Malah, aktiviti domestik juga menunjukkan trend pe­ningkatan dengan mengambil kira keyakinan perniagaan kekal berdaya saing. Dalam masa sama, kami juga akan meneliti petunjuk global daripada negara ekonomi baharu muncul dan membangun yang masih terdapat beberapa kebimbangan terutama perang dagangan.

“Namun, kami berpendapat pasaran pekerjaan di Malaysia akan terus meraih manfaat daripada aktiviti dagangan global yang kukuh dan pemulihan harga komoditi terutama industri berasaskan eksport dan komo­diti,” katanya.