ABDUL RASHID MUSA
ABDUL RASHID MUSA

Bagi tempoh berkenaan, Pro­­­ton telah menjual seba­nyak 56,297 buah kenderaan berbanding 50,091 buah pada tempoh sama tahun 2016.

Naib Presiden Jualan dan Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, Proton menerima sentuhan istimewa menerusi model Saga dan Persona yang dilancarkan pada Ogos dan September tahun lalu.

Beliau berkata, de­ngan penambahbaikan yang dilakukan pada kedua-dua model ini, Proton telah berjaya meningkatkan jualan kenderaan, sebahagian besar hasil jualan Saga sebanyak 24,061 buah atau 42.7 peratus dan Persona ialah 15,448 buah bersamaan 27.4 peratus bagi keseluruhan jualan.

“Bagi tahun ini, jumlah jualan kedua-dua model itu juga lebih baik berbanding 2016 dengan pe­ningkatan sebanyak 9,661 buah.

“Persona pula telah memperlihatkan kenaikan sebanyak 90 peratus pada tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
“Model lain iaitu Ertiga dan Perdana pula masing-masing terjual seba­nyak 4,941 buah dan 650 buah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Rashid ber­kata, prestasi memberangsangkan itu membolehkan Proton meningkatkan pe­ngua­­saan pasarannya kepada 13 peratus bagi tempoh berkenaan pada tahun ini.

Beliau berkata, pendekatan yang diambil Proton dalam membawa kenderaan keluarannya dekat kepada pelanggan melalui pelbagai aktiviti ternyata mula menampakkan hasil positif.

Sehubungan itu jelas beliau, Proton akan meneruskan siri jelajah di seluruh negara secara lebih agresif khususnya, pada hujung minggu bagi menarik bakal pembeli.

Selain itu, Proton juga akan memperkenalkan strategi-stra­tegi baharu untuk menaik taraf rangkaian pengedar dan perkhidmatan selepas jualan.
Abdul Rashid menambah, langkah Proton memperkenalkan aplikasi myProton turut memberi impak positif dalam memberikan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

“Kami akan ketengahkan tek­nologi yang ada pada Proton. Pameran ciri-ciri keselamatan utama yang ada pada kereta Proton di siri jelajah Proton ternyata menarik minat orang ramai.

“Ini menunjukkan tanda-tanda positif bagi Proton dan inilah sebabnya Proton memerlukan rakan kongsi yang baik untuk memastikan syarikat dapat terus kekal berdaya saing,” katanya.

Abdul Rashid turut memberitahu, Proton meneruskan kempen tawaran lima nilai hebat dengan servis percuma selama lima tahun dan waranti lima tahun untuk setiap pembelian kenderaannya.