Menurut Perdana Menteri, Proton yang diilhamkan oleh beliau sendiri pada 1983 kini bukan lagi pengeluar kereta nasional memandangkan jenama tersebut sudah dijual kepada syarikat automotif gergasi dari China, Geely.

Tinjauan di laman sosial Facebook dan Twitter mendapati rata-rata netizen berbelah-bahagi dengan pengumuman itu apabila terdapat pihak yang menyokong dan tidak kurang­nya yang membantah dengan pandangan masing-masing.

Paling ketara, sebahagian besarnya keliru kerana kerajaan Pakatan Harapan mendedahkan hutang semasa negara mencecah hampir RM1 trilion, namun masih mempunyai dana yang cukup besar untuk melaksanakan projek itu.

Lebih aneh, pengumuman itu juga dibuat ketika kerajaan menangguhkan dua projek infrastruktur berskala mega iaitu Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) dan Transit Aliran Massa laluan tiga (MRT3).

Apa yang jelas, projek tersebut sudah semestinya akan menelan belanja besar yang sepatutnya boleh digunakan untuk mengukuhkan lagi ja­ringan pengangkutan awam atau mungkin juga meneruskan pembinaan projek HSR dan MRT3.

Mungkinkah tindakan ini dianggap sebagai langkah kebelakang kerana pengangkutan awam yang sistematik adalah penting dalam menjana ekonomi dan menjadi pemangkin kemajuan negara dan bukan de­ngan menambah kesesakan lalu lintas.

Jika dilihat di Jepun, pe­ngangkutan awam yang cekap menjadi antara ciri utama yang menjana perkembangan ekonominya. Rakyatnya lebih kerap dan selesa menaiki kereta api atau komuter. Kereta di jalan raya juga kurang meskipun terdapat pelbagai jenama terkenal di peringkat global lahir di sana.

Menurut Perdana Menteri, projek kereta nasional ketiga berkenaan juga bakal diwujudkan dengan kerjasama negara rantau ini seperti Thailand, Korea Selatan atau Jepun dengan harapan dapat memperluaskan capaian pasaran.

Namun, persoalannya mampu atau tidak untuk Malaysia membentuk situasi menang-menang bersama dengan rakan kongsi asing jika projek kereta nasional itu harus dimiliki oleh Malaysia. Malah, Korea Selatan dan Jepun juga sudah mempunyai jenama kereta mereka yang terkenal di seluruh dunia.

Selain itu, cadangan itu juga hanya akan bertentangan de­ngan manifesto Pakatan Harapan yang berhasrat me­ngurangkan kadar duti eksais kereta import yang berperingkat bagi kereta pertama dengan enjin bersaiz di bawah 1,600 cc.

Ini kerana, tidak mustahil kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah perlindungan seperti peningkatan duti eksais terhadap kereta import yang akan membebankan rakyat dengan harga kereta luar negara yang lebih tinggi.

Walau bagaimanapun, tidak dinafikan ia juga membawa manfaat kepada rakyat tempatan seperti menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan atau melahirkan lebih ramai golo­ngan jurutera profesional dalam industri automotif.

Mungkin hasrat Perdana Menteri itu lebih melihat kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia di masa hadapan dengan produk buatan tempatan yang berkualiti tinggi dan mampu bersaing dengan jenama lain di peringkat global.

Kereta nasional yang ketiga itu juga akan menggalakkan persaingan yang sihat dalam kalangan pemain industri tempatan bersama Proton dan Perodua yang akan berlumba-lumba meningkatkan kualiti dengan menurunkan harga.

Sebagai rakyat Malaysia, penulis berharap satu kajian terperinci akan dijalankan terlebih dahulu bagi menentukan sama ada cadangan projek kereta nasional itu boleh dilaksanakan atau tidak dalam persekitaran semasa.

Dalam pada itu, walaupun bersetuju, Pengarang Urusan Drive Safe & Fast (DSF), Da­niel Sherman Fernandez mencadang­kan agar projek kereta nasional itu memfokuskan kepada program kenderaan elektrik (EV) yang menyeluruh. Ini kerana, suka atau tidak, EV adalah satu inisiatif ke arah masa depan.

Menurut beliau, projek kereta nasional tersebut juga seharusnya diadakan dengan usaha sama syarikat kenderaan elektrik China, LYNK & Co yang juga merupakan jenama baharu oleh Geely.

Katanya, pada 2017, LYNK & Co menetapkan penanda aras baharu untuk pengeluaran EV di seluruh dunia menerusi kilang baharunya di China yang sangat moden menggabungkan teknologi dan kepakaran Geely bersama Volvo Cars.

Daniel berkata, LYNK & Co sedang membina kenderaan pemanduan sebelah kiri untuk pasaran China dan Eropah, dan sekiranya bekerjasama dengan jenama itu, Malaysia mampu menjadi hab pembuatan kende­raan pemanduan sebelah kanan sekali gus dapat me­ngakses pasaran ASEAN termasuk Australia dan New Zealand.