Menteri Industri Utama, Teresa Kok menjelaskan, sebagai contoh harga lantai getah sekerap ditetapkan kepada RM4 sekilogram dan berdasarkan pengeluaran tahun 2017, kerajaan dijangka memerlukan peruntukan tambahan berjumlah RM2.5 bilion setahun.

Ujarnya lagi, beberapa faktor diambil kerajaan untuk tidak mempertimbangkan perkara berkenaan kerana jika harga getah asli dunia mengalami tren penurunan mendadak, ia memerlukan sumber kewangan tinggi bagi menyokongnya.

“Selain itu, ia bakal menyediakan ruang kepada aktiviti spekulasi harga di dalam kalangan para penjual getah dengan menekan harga ke paras rendah dan mengharapkan kerajaan menampung perbezaan antara harga pasaran dan lantai.

“Malah ia membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan getah dari luar negara memandangkan harga harga tempatan adalah lebih tinggi berbanding antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Teresa mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim dalam Utusan Online yang memaklumkan peruntukan RM50 juta sebagai Insentif Pengeluaran Getah (IPG) seperti diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam Belanjawan 2019 tidak memberi banyak manfaat kepada pekebun kecil.

Mengulas lanjut kenyataan tersebut, Teresa berkata, IPG diwujudkan bagi meringankan beban pendapatan pekebun kecil sekali gus memberi galakan kepada mereka untuk menoreh sewaktu harga getah rendah di pasaran.

Katanya, insentif itu hampir sama dengan konsep harga lantai kerana perkara berkenaan diaktifkan sebaik sahaja purata bulanan Standard Getah Malaysia (SMR) 20 pada bulan sebelumnya kurang dari RM5.50 sekilogram atau harga harga getah sekerap ladang di bawah RM2.20 sekilogram.

“Langkah ini membolehkan para pekebun kecil getah dengan pemilikan dua hektar dan produktiviti sebanyak 3,000 kilogram mampu menikmati pendapatan bulanan RM1,100,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE