Timbalan Menteri, Dr. Ong Kian Ming berkata, Dasar Automotif Nasional (NAP) dan hala tuju berkenaan industri automotif negara secara menyeluruh perlu dikenal pasti sebelum melaksanakan kajian impak ekonomi kereta nasional ketiga tersebut.

"Kita perlu menampakkan hala tuju yang lebih tepat oleh kerana kita belum lagi menilai semua cadangan yang telah kita dapat daripada syarikat dan individu mengenai projek kereta nasional baharu," katanya.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) serta soalan susulan daripada Wong Chen (PH-Subang) pada sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengenai soalan berkenaan, beliau berkata, projek kenderaan nasional baharu ini akan dipacu sepenuhnya oleh pihak swasta.

"Kerajaan hanya akan membantu dari segi kemudahan dan bantuan tertentu bergantung kepada komitmen syarikat," katanya.

Beliau menegaskan bahawa industri automotif merupakan elemen penting dan strategik dalam sektor perkilangan di Malaysia.

Industri automotif serta sektor yang berkaitan automotif menggunakan lebih 700,000 pekerja dan telah menyumbang hampir empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar Malaysia.

"Ia amat penting untuk pertumbuhan negara dan projek beerkenaan dijangka dapat meningkatkan keupayaan kejuruteraan dan teknologi di Malaysia.

"Kerajaan buat masa ini sedang dalam proses kajian semula NAP bagi menerapkan pelbagai elemen selaras dengan kemajuan teknologi mobiliti dan Industri 4.0 untuk memastikan industri automotif tempatan selari dengan perkembangan global," katanya.

Beliau berkata, kajian semula ini akan membincangkan perkara berkaitan pembangunan industri automotif tempatan seperti pembangunan syarikat tempatan, aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R(amp)D) serta peningkatan eksport.


Dr Ong berkata projek kereta nasional baharu akan dibuat selari dengan hala tuju dan strategi masa depan industri automotif Malaysia, dengan mengambil kira unsur-unsur Kenderaan Generasi Akan Datang (NXGV), Mobiliti, Revolusi Industri (IR) 4.0 dan Kecerdasan Buatan (Al).

"Projek kereta nasional baharu yang dicadangkan ini tertumpu kepada pembangunan keupayaan pembuatan dengan melibatkan keseluruhan rantaian nilai dan ekosistem industri automotif," katanya.

Menurutnya, cadangan projek kereta nasional baharu ini juga perlu memberi penekanan kepada R(amp)D, tren dan teknologi baharu yang akan memacu pertumbuhan industri automotif dan industri lain yang berkaitan serta kerjasama dengan negara ASEAN yang lain.

Di samping itu juga, Dr. Ong berkata, cadangan projek kereta nasional ketiga ini juga dijangka dapat mewujudkan kluster teknologi serta tenaga kerja pakar baharu, terutama dalam bidang kejuruteraan automotif.

Beliau berkata, MITI mempelawa mereka yang berminat untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung projek tersebut dan tarikh akhir bagi penghantaran cadangan adalah pada 15 Okt 2018. - BERNAMA