Dewan Perdagangan Malaysia-China (MCCC) berkata, tindakan oleh kerajaan juga boleh mewujudkan impak serius kepada ekonomi yang mana jika tidak dijelaskan akan memberi kesan jangka panjang kepada pelaburan.

Katanya, hubungan Malaysia dengan China sepatutnya diper­tingkatkan selepas lawatan rasmi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ke China baru-baru ini, tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Kami (MCCC) yang begitu komited untuk mengekal dan mempromosikan ekonomi dan hubungan dagang antara Malaysia dan China menggesa pemimpin kerajaan untuk berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang menyentuh aspek pelaburan.

“Kerajaan juga perlu me­nubuhkan dan memperkukuhkan jabatan atau kumpulan yang khusus untuk melaporkan kepada pemimpin secara jelas segala isu berhubung polisi pelaburan asing. Dengan komunikasi yang telus dan rasional serta mekanisme maklumat yang tepat, pemimpin boleh mendapat maklumat yang betul,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan tersebut dikeluarkan berhubung dengan insiden seperti tindakan merobohkan tembok Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) yang akhirnya hanyalah salah faham. Tembok pagar tersebut dibina untuk melindungi pekerja dan aset kilang serta dibina secara sah mengikut undang-undang.

Berhubung larangan jualan hartanah Forest City kepada rak­yat asing yang turut mengejutkan pelabur asing dan pemaju walaupun telah dijelaskan oleh Dr. Mahathir bahawa tiada larangan seumpamanya dikeluarkan.

“Insiden seperti ini akan meng­akibatkan impak negatif dalam usaha menarik pelaburan dan menjejaskan program Malaysia My Second Home (MM2H). Adalah perlu untuk kerajaan memberi pen­jelasan munasabah bagi mempertahankan re­putasi Malaysia,’’ jelas MCCC dalam ke­nyataan itu lagi.

Katanya, Inisiatif Belt and Road telah menjangkau lima tahun pada tahun ini dan kemampuan pelabur China untuk menuju ke arah global telah menjadi lebih kukuh. Syarikat Malaysia juga kini bersedia bekerjasama dengan syarikat China yang memiliki kemahiran, bakat dan pengalaman.

“Dalam era ekonomi yang mencabar, MCCC akan meneruskan usaha sebagai penghubung untuk Malaysia dan China menjadi pelengkap antara satu sama lain dalam sektor perdagangan dan perniagaan,’’ jelasnya.

Dewan itu juga berharap institusi rasmi kerajaan boleh mengeluarkan polisi yang mesra perniagaan dan pelaburan kepada pelabur asing bagi membolehkan Malaysia mengekalkan status dan daya tarikan dalam kalangan negara-negara jiran yang terlibat dengan inisiatif The Belt and Road serta menjadi rakan perniagaan terbesar kepada China.