Katanya, tunggakan yang terdiri daripada RM18 bilion untuk cukai pendapatan dan RM19 bilion bagi Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) berdasarkan anggaran yang dibuat dalam Belanjawan 2019, akan dibayar secara berperingkat-peringkat dalam tempoh 10 bulan.

"Kami akan memulakan proses pembayaran balik, tetapi ia tidak akan dikembalikan sekali gus, ia akan menjadi angka yang sangat besar," katanya dalam satu sidang akhbar mengenai pelantikan pengarah utama bersama untuk bon Samurai di sini, hari ini.

"Kami tidak membayarnya lagi tetapi kami berhasrat untuk berbuat demikian dalam tempoh 10 bulan tahun ini," katanya, sambil menambah ia tidak digalakkan supaya kerajaan membayar tunggakan tersebut sekali gus. 


"Sekiranya kami membayar balik sekali gus, saya tidak fikir ia baik dan bank kami akan berkata, kenapa anda tidak menyebarkannya supaya anda boleh mendapat kesan pengganda sepenuhnya dan meningkatkan ekonomi tempatan," tambahnya. - BERNAMA