Ketua Penyelidik Ekonomi RHB Research Institute Sdn. Bhd., Peck Boon Soon berkata, ini termasuk pembabitan kerajaan bagi mempercepatkan langkah semakan semula dan pelaksanaan projek pembinaan manakala BNM pula boleh berperanan menggalakkan perniagaan untuk melabur dalam persekitaran hala tuju yang lebih jelas seperti aspek dasar pekerja asing.

“Aktiviti penggunaan swasta dilihat sebagai satu-satunya perkara yang memacu ekonomi dan perang perdagangan itu hanya menjejaskan lagi prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di masa depan.

“Ini bermakna kerajaan dan BNM mungkin perlu berusaha lebih lagi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman BNM hari ini membabitkan data KDNK Malaysia yang berkembang pada 4.5 peratus dalam suku pertama 2019, kebanyakannya dipacu oleh perbelanjaan swasta yang menokok 7.6 peratus pada suku pertama 2019.

Pertumbuhan 4.5 peratus itu juga lebih perlahan daripada 4.7 peratus dicatat pada suku sebelumnya walaupun ia masih mengatasi unjuran ahli ekonomi pada 4.3 peratus.

Sementara itu, mengulas perkara sama, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penggunaan swasta yang berkembang 7.6 peratus pada suku pertama 2019 dan lebih perlahan daripada 8.4 peratus pada suku sebelumnya terbukti menjadi penyelamat ekonomi.

“Kita dapat melihat wujudnya pembahagian antara Indeks Sentimen Pengguna (CSI) dan perbelanjaan sebenar kalangan pengguna yang masih memadai,” katanya. - BERNAMA