Firma penyelidikan UOB Kay Hian Research yang menurunkan unjuran sektor itu kepada ‘underweight’ menjangkakan margin kini dalam lingkungan lima hingga enam peratus berbanding lapan hingga 10 peratus sebelum ini.

Katanya, sejak kerajaan Pa­katan Harapan berkuasa, banyak projek infrastruktur mega telah dikaji mengakibatkan beberapa projek ditangguhkan dan beberapa dibenarkan setelah melalui kajian semula kos.

“Persetujuan MMC-Gamuda kekal sebagai pelaksana projek MRT Laluan 2 (MRT2) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya untuk laluan bawah tanah dan atas tanah pada kos yang lebih rendah menyaksikan skop kerja akan dikurangkan berserta dengan­ margin yang lebih rendah.

“Bagi kebanyakan kontraktor yang bergantung kepada tender kerajaan, nilai tempahan mereka semakin berkurangan dan ini tidak boleh dibiarkan berterusan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam usaha mengekalkan pendapatan, beberapa kontraktor telah mempelbagaikan perniagaan mereka seperti Sunway Construction Group di bawah Sunway Bhd, dan WCT Holdings di bawah Impian Eksperesi.

Ujar UOB Kay Hian Research, kontraktor lain seper­ti Gabunga­n AQRS Bhd. dan Gamuda Bhd. menjana kewangan daripada bank tanah terbiar mereka untuk pembangunan hartanah.

“Strategi ini dalam masa sama boleh memberi sumba­ngan pendapatan dalam tempoh terdekat.

“Bagaimanapun, aliran kontrak daripada strategi ini mungkin tidak cukup untuk mengimbangi kehilangan projek-projek kerajaan kepada kontraktor tertentu kerana tender kerajaan biasanya agak besar,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangka pelabur kekal berhati-hati dalam tempoh terdekat berikutan aliran berita negatif dalam sektor pembinaan seper­ti penamatan kontrak bawah tanah MRT2 dan kurang pekerjaan dalam pasaran pada tahun depan.

Dalam laporan terkini UOB Kay Hian Research, firma itu menegaskan bahawa kebanyakan­ kontraktor tidak melepasi jangkaan pendapatan kecuali Ekovest Bhd. dan Gamuda.

“Penyebab utama adalah kemajuan projek infrastruktur yang berkaitan kerajaan seperti projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang perlahan,” katanya.