Institut Automotif Malaysia (MAI), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, yang ditubuhkan khas sebagai entiti berperanan memacu segala aktiviti di dalam rangka murni ini.

Satu daripada agenda utama ialah pembangunan sumber manusia. Aspek ini merupakan satu perkara asas yang penting bagi segala teras lain di dalam Dasar Automotif Negara itu kera­na sumber manusia yang berkemahiran sahaja mampu mendokong usaha murni ini.

Aspek pendidikan bukan hanya terbatas kepada pendidikan lepasan SPM, lepasan Kolej Voktek atau lepasan SKM sahaja, tetapi merangkumi pelbagai pendidikan kepada para pekerja sedia ada kerana evolusi teknologi, kejuruteraan serta pembangunan kenderaan begitu dinamik.

Hampir saban waktu setiap pengeluar kenderaan seperti Ferrari, Porsche, Lamborghini, Nissan, Peugeot umpamanya, sekadar memberikan berberapa jenama, sentiasa bergiat menghasilkan pelbagai teknologi bagi mengoptimumkan pengunaan bahan api, mencari teknologi keselamatan yang lebih efektif serta teknologi bagi membantu pemandu dan penumpang memiliki tahap keselamatan dan keselesaan yang cemerlang.

Oleh yang demikian, sekiranya tahap pendidikan para pelajar yang bakal bekerja di dalam industri tidak dilengkap­kan dengan ilmu yang sesuai, maka akan ketinggalan jauh segala niat murni kerajaan nanti.

Ini kerana, jika sesebuah syarikat sudah mengaplikasikan pengunaan kotak gear se­perti DSG atau PDK tetapi tahap ilmu dan pendidikan masih lagi pada tahap kotak gear ‘H-Gate’, maka sudah pasti individu tersebut tidak dapat menggapai tahap ilmu dan akan ketinggalan di tempat kerja dari segi pendidikan, ilmu dan tangga gaji.

Bagi para jurutera pula, trend pengeluar sekarang ini ialah mengecilkan saiz enjin (Downsizing) tetapi menggunakan kuasa turbo bagi memberikan kuasa kuda atau kuasa enjin yang baik dengan penggunaan bahan api yang lebih optimum di samping cukai jalan yang lebih murah.

Jika dahulu kita berpendapat, untuk mendapatkan kuasa kuda dan daya kilas yang baik, saiz enjin perlu dibesarkan tetapi dengan ilmu dan teknologi terkini seperti Hibrid, Turbo dan Supercharge, maka satu revolusi telah berlaku.

Jadi berbalik kita kepada ele­men pembangunan sumber manusia tadi, perkara ini perlu diterapkan secara terus menerus kepada pekerja sedia ada, selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-11 yang menggariskan Program Pendidikan Sepanjang Hayat sebagai satu teras utama.

Jadi, aspek pembangunan sumber manusia jelas begitu penting bagi mendokong usaha kerajaan untuk memantapkan lagi sektor automotif negara.

Melihat kepada pelbagai model kenderaan yang dikeluarkan oleh pengeluar antarabangsa, maka tidak dapat dinafikan lagi bahawa aspek pendidikan perlulah dibangunkan dan peluang ini hendaklan direbut oleh rakyat Malaysia.

Untuk pengetahuan pembaca, sebanyak 57,457 pekerjaan telah dihasilkan bermula dari Januari 2014 (sejak DAN dilancarkan) sehingga Disember 2015 (data MAI). Jadi peluang pekerjaan begitu besar dapat ditawarkan kepada rakyat dan angka ini sentiasa meningkat dari semasa ke semasa. MAI sendiri menjalankan pelbagai program pendidikan bagi menampung keperluan pekerjaan semasa.

TIC (TAJ International College) ada menjalankan kerjasama pintar bersama MAI di bawah Advanced Automotive Learning Program dengan memberikan pendidikan pada tahap sijil dan diploma kepada lepasan SPM dengan bantuan pembiayaan kewangan oleh pelbagai agensi pembiayaan kerajaan. Pendidikan yang ditawarkan berbentuk aspek teori dan praktikal dengan kerjasama pembangunan modul-modul pendidikan bersama TIC dan MAI.

Natijahnya, industri auto­motif negara memerlukan te­naga kerja yang mahir serta separa mahir. Industri ini sentiasa berkembang pesat serta merupakan salah satu industri menjana pendapat negara yang terbesar. Peluang pekerjaan ini perlulah direbut dengan baik.

Lengkapkan diri anda deng­an ilmu dan pendidikan yang terkini bagi membolehkan anda mempunyai lesen mendapatkan pekerjaan yang baik demi masa depan anda dan negara.

Azad Jasmi adalah Pengarah Eksekutif TAJ International College yang juga jurulatih INSKEN, SUPERB, BWTP dan merupakan pelumba rali. Beliau boleh dihubungi menerusi e-mel [email protected]