Bagaimanapun, untuk menjadi seorang yang mahir, selain daripada penge­tahuan asas tentang pasaran saham, anda juga perlu mempunyai kemahiran membaca carta pergerakan saham syarikat-syarikat tersenarai.

Di samping itu, anda perlu mengikuti atau mengambil tahu perkembangan pasaran semasa dan pengumuman oleh syarikat tersenarai terbatas kepada saham syarikat tersenarai yang berada di dalam portfolio pelaburan anda.

Untuk membuat urus niaga saham secara aktif memerlukan banyak tenaga dan masa berbanding jika anda merupakan seorang pelabur jangka masa panjang. Sehubungan itu, pedagang yang memasuki pasaran secara aktif ini perlu membuat persediaan setiap kali sebelum membeli saham.

Ilmu

Persediaan dari segi ilmu, masa untuk melihat pergerakan saham dan mengikuti perkembangan pasaran semasa dapat membantu anda membuat keputusan dan tindakan lebih bijak.

Banyak perisian carta dan aplikasi saham yang boleh dilanggan sama ada berbayar ataupun percuma yang boleh digunakan oleh pedagang aktif. Maklumat dan data daripada aplikasi tersebut boleh dilihat menerusi telefon pintar walaupun di mana sahaja anda berada.

Terdapat juga perisian carta yang menyenaraikan saham-saham berpotensi yang boleh anda pilih menggunakan kriteria anda tetapkan. Contohnya, seseorang pedagang telah menetapkan indikator-indikator analisis teknikal tertentu dalam penya­ringan saham-saham yang berpotensi.

Setiap pelabur atau pedagang saham perlu mempunyai atau membuat senarai saham-saham berpotensi sebelum membeli saham. Senarai tersebut sama ada boleh dibuat sendiri ataupun diambil daripada mana-mana sumber seperti senarai yang dihantar oleh syarikat broker saham.

Daripada senarai itu, anda boleh menye­mak semula dengan cara tersendiri. Pendek kata membuat penye­makan semula dan menyenarai pendek saham-saham tersebut berdasarkan kemampuan kewangan anda.

Sebagai contoh, syarikat broker saham menyenaraikan lima saham syarikat tersenarai di dalam laporan penyelidikan oleh penganalisis syarikat broker saham tersebut. Anda perlu mengkajinya semula dan pilih harga saham syarikat tersenarai yang anda mampu beli.

Semak semula

Sekiranya harga saham syarikat tersenarai tersebut agak mahal, anda boleh abaikan dan tunggu laporan penyelidikan lain kerana ada syarikat broker saham menghantar laporan itu setiap hari.

Perlu diingatkan juga, senarai saham-saham pilihan syarikat broker saham yang dibuat oleh penganalisis pasaran bia­sanya merupakan pelaburan jangka masa sederhana dan panjang. Oleh itu, para pedagang saham yang aktif perlu membuat semakan semula senarai saham yang diberikan.

Berbalik kepada cerita pedagang yang mempunyai pengetahuan dalam membuat kajian saham, anda boleh membuat sendiri senarai saham berpotensi. Senarai saham tersebut tidak perlu terlalu banyak. Memadai hanya satu atau dua saham syarikat tersenarai sahaja dan maksimum ialah tiga.

Sebagai contoh, daripada kajian sendiri, anda mendapati terdapat tiga saham syarikat tersenarai yang berpotensi dengan harga berlainan. Maka, anda perlu memilih harga yang mampu beli bersesuai­an dengan modal tunai di dalam akaun amanah anda.

Buat pilihan

Contohnya harga-harga tersebut ialah saham syarikat tersenarai A berharga 30 sen bagi 1,000 unit saham, saham syarikat tersenarai B berharga 70 sen bagi 1,000 unit saham dan saham syarikat tersenarai C berharga RM1.00 bagi 1,000 unit saham.

Anda hanya mempunyai modal sebanyak RM3,000 sahaja. Maka, bagaimana anda membuat pemilihan yang betul?

Apa yang boleh Cikgu Saham syorkan ialah anda boleh pilih salah satu daripada berikut:

* Beli saham syarikat tersenarai A yang berharga 30 sen sebanyak 10,000 unit saham, atau;

* Beli saham syarikat tersenarai B yang berharga 70 sen sebanyak 3,000 unit saham dan biarkan baki modal yang ada atau;

* Beli saham syarikat tersenarai C yang berharga RM1.00 sebanyak 3,000 unit.

Cara begini lebih mudah untuk membuat keuntungan daripada membeli kesemua atau ketiga-tiga jenis saham syarikat tersenarai kerana de­ngan kenaikan kecil akan memudahkan anda meraih keuntungan.

Sekiranya anda mempu­nyai modal tunai lebih daripada RM3,000, anda boleh membeli dua atau tiga saham syarikat tersenarai pada satu masa. Jangan membeli terlalu banyak jenis saham syarikat tersenarai kerana dengan membeli terlalu banyak jenis akan mendedahkan anda kepada risiko lebih besar.