KUALA LUMPUR 9 Sept. – Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menjelaskan mereka menyambut baik pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi baharu kumpulan tersebut dan dalam masa yang sama mempertahankan tindakannya mengeluarkan makluman kepada Bursa Malaysia semalam.
Berikut adalah kenyataan penuh FGV berhubung perkara terbabit:
Kami merujuk kepada artikel Utusan Malaysia bertarikh 9 September yang bertajuk Apa motif FGV tidak iktiraf pengumuman pelantikan Azhar Abdul Hamid?
Sebagai sebuah syarikat senaraian awam dan kerajaan yang tertakluk kepada peraturan, kawal selia dan standard amalan terbaik di bawah Akta Syarikat 2016, Syarat Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia (MMLR) dan panduan daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), FGV mematuhi perenggan 9.03 (1) MMLR yang mengatakan syarikat tersenarai perlu membuat pendedahan awam dengan segera berkenaan sebarang maklumat sahih dan dalam perenggan 9.16 turut menyatakan bahawa syarikat tersenarai perlu memastikan setiap pengumuman adalah berdasarkan fakta dan tepat.
Selaras dengan perkara di atas, apabila mengenal pasti berita pertama pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid yang diterbitkan oleh BERNAMA.com, FGV dengan segera menyediakan pengumuman yang mana telah dihantar kepada Bursa pada 6 petang semalam yang menyatakan setakat pukul 5.30 petang semalam, Setiausaha syarikat tidak menerima sebarang notis bertulis daripada pihak berkuasa berkaitan untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi FGV.
Sementara itu, Lembaga FGV dan Pengurusan telah menghubungi pihak berkuasa berkaitan untuk memperoleh notis wajar secara bertulis seperti yang dikehendaki di bawah Memorandum dan Artikel Tataurus (M&A) untuk melaksanakan pelantikan berkenaan.
FGV komited terhadap amalan tadbir urus korporat yang baik dan menganggap kenyataan dalam akhbar yang mendakwa Lembaga FGV menyimpan agenda peribadi untuk menghentikan pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid adalah sesuatu perkara yang tidak berasas sama sekali.
Setiausaha syarikat juga telah berhubung dengan Datuk Azhar Abdul Hamid berkenaan perkara ini dan berikutan berita telah diterbitkan oleh media.
FGV ingin menegaskan, “apabila kami menerima notis secara bertulis dari pihak berkuasa berkaitan, Lembaga Pengarah akan menjalankan proses yang diperlukan di bawah peruntukan Akta Syarikat 2016 dan MMLR Bursa Malaysia Securities Berhad untuk melantik Datuk Azhar Abdul Hamid sebagai Pengerusi baharu Lembaga Pengarah FGV”.
Lembaga Pengarah dan Pengurusan FGV mengalu-alukan pelantikan Datuk Azhar Abdul Hamid.