Elektrik merupakan utiliti asas penting di samping menjadi antara kos terbesar selepas bahan mentah. Perniagaan yang berintensifkan mesin dan teknologi robot dalam proses pengeluaran merupakan antara yang paling teruk terjejas.

Ada yang menganggap kenaikan ICPT pada ketika ini sebagai terlalu membebankan kerana terpaksa berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang dijangka perlahan pada 2019 ditambah pula sentimen perang dagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Menurut Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF), industri besi dan keluli mengalami peningkatan kos pengeluaran daripada RM855 juta kepada RM1 bilion apabila ICPT berkuat kuasa. Kenaikan itu juga mendorong peningkatan kos pengeluaran sekali gus menjejaskan peserta industri tempatan.

AHMED RAZMAN
AHMED RAZMAN 

Jelas MISIF, kebanyakan pemain industri kini hanya memikirkan kelangsungan perniagaan mereka berikutan margin keuntungan tertakluk kepada ketidaktentuan perdagangan komoditi antarabangsa.

“Kami mahu kenaikan kadar elektrik yang berterusan dihentikan serta menghapuskan sistem legap dan berat sebelah yang hanya menguntungkan syarikat utiliti.

TNB seharus­nya melihat bagaimana untuk mengimbangi antara penjanaan elektrik dan struktur tarif yang berkesan supaya dapat membantu pertumbuhan industri,” katanya.

Melihat kepada situasi itu, Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh industri adalah dengan memfokuskan kepada penjimatan kos yang lebih cekap di samping rasionalisasi aset.

Kata beliau, syarikat harus mengenal pasti aset-aset yang menyumbang kepada pendapatan dan yang tidak memberi sebarang pulangan serta mempelbagaikan produk yang mempunyai nilai tambah agar punca pendapatan tidak datang daripada satu sumber sahaja.

Secara asasnya, komponen elektrik terdiri daripada elemen tetap dan berubah dengan faktor berubah dipengaruhi oleh permintaan dunia terhadap arang batu dan gas, turun naik ringgit dan rasionalisasi subsidi gas. Naik turun faktor-faktor itu menyebabkan kos untuk menjana elektrik menjadi mahal.

Menurut Ahmed Razman, industri seharusnya mengambil kira pelbagai faktor apabila membuat perancangan strategik dan hala tuju syarikat.

“Dengan meningkatkan kecekapan sekali gus mengurangkan kos pembuatan dan industri mampu untuk berdaya saing walaupun berlakunya kenaikan ICPT,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mengenai kenaikan ICPT di tengah-tengah kelembapan ekonomi, Ahmed Razman berkata, kerajaan sepatutnya menjelaskan mengapa kenaikan itu dilaksanakan sekarang.

“Rekod prestasi kewangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) masih mampu mendapat keuntungan berbilion ringgit setiap tahun. Sekiranya tiada alasan yang kukuh sewajarnya ia ditangguhkan dan jika tidak boleh sekurang-kurangnya kaji semula kadar kenaikan tersebut,” ujarnya.

Gas Malaysia Sdn. Bhd. turut menyemak tarif gas asli membabitkan sektor bukan tenaga di Semenanjung Malaysia kepada RM32.69 per MMBtu berbanding RM31.92 per MMBtu. Kadar baharu itu berkuat kuasa 1 Januari hingga 30 Jun 2019.