AHYAT ISHAK
AHYAT ISHAK 

Selain itu, kerajaan turut mengumumkan pengecualian Cukai Keuntungan Harta Tanah (RPGT) terhadap penjualan rumah di bawah harga RM200,000.

Pengecualian duti setem tersebut bertujuan menggalakkan pembelian rumah pertama, meningkatkan pembelian unit rumah tidak terjual daripada pemaju dan merancakkan pasaran hartanah.

Wartawan Utusan Malaysia, NABILA YASMIN RAZIB mendapatkan pandangan pejuang hartanah, AHYAT ISHAK untuk mengupas mengenai pengumuman yang dibuat dan kesannya kepada pasaran hartanah ketika ini.
 

Adakah ia akan memberi impak terhadap penjulan hartanah mewah?

AHYAT ISHAK: Peningkatan duti setem ini akan beri impak negatif kepada transaksi harta­nah bernilai RM1 juta ke atas yang sememangnya berdepan pasaran lembab.

Bagaimana reaksi pasaran hartanah terhadap langkah yang diumumkan kerajaan?

Ini merupakan petanda jelas kerajaan sekarang mahu membantu pembeli rumah pertama dan memberi galakan kepada orang muda untuk beli rumah pertama.

Cuma, ini sekadar satu insentif sahaja yang menyebabkan kos pemilikan hartanah itu berkurang sedikit. Ia tidak menyebabkan permintaan kepada rumah-rumah akan meningkat secara ajaib.

Masalah lambakan rumah tidak dapat diselesaikan sekelip mata kerana lambakan itu pun tidak dalam kategori RM300,000 ke bawah. Masalah sebenar ialah kemampuan iaitu harga rumah yang tinggi berbanding pendapatan rakyat.

Apakah kesan pengumuman RPGT terhadap mereka yang merancang untuk menjual hartanah mereka?

Pengecualian cukai kepada rumah bawah RM200,000 ini tidaklah memberi kesan besar. Bila tiada RPGT, ia akan menggalakkan orang jual kerana tak perlu bayar apa-apa cukai.

Apa yang kita lihat ketika tempoh tiada RPGT dulu, ia menggalakkan permintaan terhadap hartanah secara amnya. Kali ini, spesifik kepada hartanah bawah RM200,000. Polisi kerajaan ini sebenarnya lebih kepada hendak membantu golongan pemilik rumah dalam kategori B40 dan bukannya pelabur.

Boleh anda kongsikan prospek hartanah untuk 2019?

2019 akan menjadi satu lagi tahun yang sukar untuk harta­nah dengan jangkaan lambakan akan terus berlaku. Selain itu, saya melihat nilai hartanah sukar untuk terus melonjak pada kadar yang tinggi sebaliknya akan me­ningkat dalam kadar perlahan.

Lebih ramai pemilik rumah akan terus merendahkan harga jualan mereka seperti mana yang kita lihat pada 2017 dan 2018. Selain itu, kadar sewa juga akan terus terhad kerana penyewa kini mempunyai lebih banyak pilihan. Bekalan rumah untuk disewakan juga melebihi daripada permintaan.


Pengumuman-pengumuman yang dibuat kerajaan ini dilihat sebagai antara usaha bagi mengatasi isu lebihan bekalan hartanah, adakah ini dapat membantu mengatasi masalah tersebut?

Dasar-dasar yang diumumkan baru-baru ini lebih kepada hendak selesaikan masalah lambakan. Tapi kalau kita fikirkan, siapa yang akan dapat manfaat bila masalah lambakan diselesaikan? Pemaju yang akan paling untung.

Lambakan berlaku kerana pembeli tidak mahu beli berkemungkinan besar kerana wrong product wrong location wrong price yang bermakna produk yang ditawarkan tidak meme­nuhi permintaan, lokasi tidak strategik dan harga tidak rea­listik.

Kalau hartanah itu bagus, pembeli akan tetap beli. Kita nak selesaikan masalah siapa sebenarnya? Memang industri hartanah ini penting untuk negara kerana ia melibatkan ba­nyak rantaian daripada industri lain yang turut terlibat sama dan kerajaan juga dapat pelbagai jenis cukai.

Ekonomi secara keseluruhannya akan membangun, tetapi masalah lambakan ini sebenar­nya adalah masalah yang lebih besar. Kita tidak boleh memaksa pembeli untuk te­rus beli hartanah jika ia tidak sesuai untuk mereka.