Mohamaddin Ketapi

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata program yang dianjurkan sejak 2015 itu masih dikelola secara bersama dengan KDN dan keputusan akhir ditentukan kementerian tersebut.


"Di pihak kita pula kita masih mengambil permohonan (program MM2H) dan kita serahkan kepada KDN untuk kelulusan," katanya selepas menghadiri Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Kerja Tindakan Daerah Lahad Datu bagi sesi 2019, yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Lahad Datu, Iman Ali.

Beliau mengulas mengenai isu yang diutarakan Persatuan MM2H yang mendakwa hampir 3,000 permohonan program itu masih tidak mendapat kelulusan.

Mohamaddin berkata bagi kementeriannya sendiri tidak banyak perundangan yang perlu dipatuhi pemohon kerana akta-akta berkaitan adalah di bawah bidang kuasa KDN.

Selain itu katanya, tidak timbul isu birokrasi sebaliknya permohonan-permohonan terbabit perlu melalui proses yang tertakluk di dalam KDN.


"Tiada isu birokrasi kerana memang sejak dari awal penganjuran program ini, kelulusan akhir adalah daripada KDN," katanya yang menambah perkara itu telah lama dipraktikkan dan diharap pemohon dapat bersabar.


Sementara itu, beliau mahu isu berkaitan komuniti Pala'u di Lahad Datu dan daerah sekitar yang terlibat dengan masalah sosial, dapat diselesaikan secara baik.- BERNAMA