Kejatuhan yang paling ketara dan menjadi perbualan hangat di media sosial ialah apabila indeks pasaran FBM KLCI menerobos paras sokongan 1,700 mata sehingga mencecah paras terendah 1,678.03 mata pada hari Jumaat sebelum membuat pantulan teknikal dan ditutup pada paras 1,691 mata.

Dalam suasana pasca PRU-14 yang masih hangat lagi serta diselang-selikan dengan isu di peringkat global serta beberapa isu dalaman pembentukan kerajaan Pusat yang baharu yang sehingga kini masih belum lagi selesai memilih Jemaah Menteri dan jawatan lain di agensi kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC), selagi itulah pasaran saham tempatan berada di dalam ketidaktentuan.

Pelabur asing melihat kea­daan ini sebagai satu isyarat untuk mengeluarkan pelaburan yang berjumlah berbilion ringgit daripada pasaran saham Bursa Malaysia selagi pemerin­tahan baharu belum menunjukkan keupayaan menyelesaikan ma­salah-masalah dalaman atau kemelut yang melanda politik negara.

Juga, desas-desus tentang senarai pantau ketua, ahli lembaga dan pegawai pengurusan kanan GLC yang dilantik oleh kerajaan terdahulu akan menjadi fokus pada minggu-ming­gu akan datang. Ini juga me­rupakan satu daripada faktor yang memberi tempias kepada pasaran tempatan. Dengan pertukaran, peletakan jawatan atau penamatan perkhidmatan ketua atau pengurusan kanan GLC ini akan menyebabkan penggubalan dasar-dasar sedia ada syarikat-syarikat milik kerajaan tergendala.

Walau bagaimanapun, sekiranya terdapat pertukaran dasar-dasar sedia ada, ia belum tentu dapat menarik pelabur asing dalam tempoh terdekat kerana mereka sudah selesa dengan dasar terdahulu. Semua dasar yang kemungkinan digubal itu akan mengambil masa untuk diperhalusi oleh pelabur asing terlebih dahulu.

Maka, pelabur dan pedagang runcit tempatan perlu faham bahawa pasaran boleh mengambil tempoh masa yang lama untuk pulih seperti sedia kala ataupun naik semula sekiranya sebelum itu pasaran me­ngalami aliran menurun yang panjang.

Sekiranya pasaran mengambil tempoh yang lama untuk pulih atau aktif semula, transaksi kontra atau urus niaga singkat agak bahaya dilakukan dalam keadaan ini. Atau de­ngan tepat, pedagang saham perlu mengubah strategi untuk pelaburan yang lebih lama lagi.

Seperkara lagi, pelabur dan pedagang saham perlu diingatkan tentang Manifesto 100 hari Pakatan Harapan. Ini bermakna pasaran berada di dalam kea­daan ketidaktentuan sepanjang tempoh ini. Dalam erti kata lain, tempoh aliran menurun yang agak panjang iaitu selama tiga bulan sepuluh hari bermula dari tarikh pengumuman keputusan PRU-14.

Walau bagaimanapun, di dalam aliran menurun yang lama sekiranya ia berlaku dise­babkan beberapa kejutan atau perubahan dasar-dasar kerajaan Pakatan Harapan, terdapat beberapa siri kenaikan kecil atau pantulan teknikal yang berlaku semasa aliran menurun ini.

Andai kata kerajaan Pakatan Harapan mengambil masa lebih dari 100 hari untuk me­nunaikan janji-janji yang di­buat sebelum PRU-14, maka ini bermakna iklim pasaran juga mengambil masa lebih dari 100 hari untuk kembali aktif dan cergas. Definisi cergas dan aktif ialah satu keadaan yang mana jumlah dagangan setiap hari melebihi 2 bilion, indeks pasaran FBM KLCI melalui fasa kenaikan serta kaunter untung lebih banyak dari kaunter rugi. Inilah yang diinginkan oleh pelabur dan pedagang saham untuk membuat keuntungan ketika melabur atau berdagang di pasaran saham.

Sekiranya ia mengambil masa yang lebih lama, ini bermakna suasana pasaran masih di dalam ketidaktentuan dan pelabur asing masih belum yakin untuk kembali semula ke Malaysia.

Di dalam tempoh ini, kita belum pasti lagi apakah ada lagi peristiwa atau isu di peringkat global yang bakal berlaku. Sekiranya terdapat apa-apa isu global yang bersifat negatif kepada pasaran saham berlaku, iklim pasaran tempatan juga akan turut terkesan. Ibarat jatuh ditimpa tangga. Sedang kemelut dalaman belum dapat diselesaikan lagi, kemelut di peringkat global memberi lagi tekanan yang akan memburukkan lagi keadaan pasaran tempatan.

Secara peribadi, Cikgu Saham memberi prospek pasaran untuk tahun 2018 ini sebagai tahun pelaburan yang mencabar serta penuh dengan isu-isu yang mempengaruhi pergerakan pasaran. Pelabur dan pedagang saham perlu lebih berhati-hati dalam membuat pelaburan mahupun perdagangan dalam pasaran saham sepanjang tahun ini.

Sekiranya pelabur dan pedagang ingin membuat urus niaga saham, perlu peka dengan sentimen dan berita-berita yang bakal mempengaruhi turun naik pasaran. Melabur dengan cermat, bijak dan berhemah.