Pelaburan atau perdagangan saham sebenarnya merupakan satu subjek yang luas dan agak sukar dikuasai. Tetapi dengan adanya satu sistem dan kaedah yang baik, ia memudahkan pelabur dan pedagang saham untuk berjaya menjana pendapatan setiap kali masuk pasaran.

Sewaktu urus niaga saham belum lagi dijalankan secara automatik sepenuhnya, pelabur dan pedagang saham banyak bersandar kepada remisier untuk mendapatkan maklumat tentang pasaran. Ini termasuk orang ramai mengharapkan remisier untuk memberitahu mereka harga-harga saham syarikat tersenarai yang didagangkan.

Orang ramai yang ingin membeli saham terpaksa datang ke syarikat broker saham untuk melihat sendiri harga-harga saham yang sedang diurus niagakan ataupun menghubungi remisier untuk mengetahui turun naik harga saham.

Teknologi dagangan saham

Dengan perubahan dan teknologi masa kini, pelaburan dan perdagangan saham menjadi semakin mudah. Dengan adanya urus niaga dalam talian, aplikasi saham, maklumat saham semakin mudah diperoleh serta terdapatnya banyak kelas pendidikan saham telah menarik ramai orang menceburi bidang ini.

Walau bagaimanapun, dengan adanya berbagai kemudahan, sistem dan maklumat pasaran, masih terdapat juga ramai yang tidak dapat menguasai kemahiran untuk melabur atau berdagang saham dengan baik.

Risau

Setiap kali pasaran saham mengalami penurunan, ia merupakan satu keadaan yang merisaukan pelabur dan pedagang saham kerana mereka terperangkap membeli saham pada harga sebelum pasaran jatuh.

Kerisauan ini disebabkan oleh pedagang kontra atau pedagang jangka masa singkat yang terpaksa menjual saham kerana ketidakupayaan membayar jumlah pembelian pada hari yang ditetapkan oleh Bursa Malaysia.

Akibatnya mereka menanggung kerugian walaupun adakalanya harga saham yang dibeli itu naik semula apabila pasaran berubah menjadi aliran menaik.

Dengan adanya urus niaga dalam talian, banyak perkara yang perlu dilakukan sendiri oleh pelabur dan pedagang saham itu sendiri. Sudah tentu ia memakan masa yang lama untuk mendapat rentak mengenali perjalanan turun naik pasaran.

Perubahan zaman

Pelabur dan pedagang masa kini berbeza jika dibandingkan dengan pelabur dan pedagang saham 20 tahun dahulu. Pelabur dan pedagang saham kini terpaksa belajar dan mendapatkan ilmu pelaburan terlebih dahulu. Membuat pembacaan sendiri, membuat kajian sendiri serta sehingga membuat beli jual sendiri di dalam talian. Justeru, ia mengambil masa yang agak lama untuk mahir dalam saham.

Mahir memilih kaunter-kaunter yang bakal memberikan keuntungan.

Pelabur dan pedagang masa kini juga perlu rajin membaca dan pengambil tahu perkembangan semasa pasaran saham. Atau kita katakan membuat pembacaan sendiri.

Sekiranya pelabur dan pedagang saham tidak mempunyai masa atau tidak membuat persediaan, sudah tentu ia mengambil masa yang lama untuk mahir dalam saham. Ini disebabkan sepanjang melakukan urus niaga saham, tidak dapat dinafikan kita akan membuat kesilapan iaitu kesilapan yang menjurus kepada kerugian.

Kesilapan

Kesilapan ini boleh jadi kesilapan yang dilakukan berulang-ulang kali sebelum kita dapat menyedari kesilapan tersebut dan berhenti dari melakukannya sekali lagi.

Oleh kerana kita berdagang sendiri, maka kita sendiri kena perbetulkan kesilapan yang telah dibuat. Sudah tentu ini merupakan satu perkara yang sukar kerana biasanya kita tidak tahu bagaimana untuk perbetulkan kesilapan tersebut lebih-lebih lagi semuanya kita lakukan sendiri.

Tiada bimbingan

Saya memberikan satu contoh dari kes pengikut Cikgu Saham di media sosial Facebook. Kebanyakan mereka tidak tahu atau belum mahir membuat pemilihan saham serta mengenali sentimen pasaran atau trend turun naik pasaran.

Maka, apabila pasaran berubah arah dari aliran menaik ke aliran menurun, ramai yang tertekan atau merasa risau kerana khuatir modal pelaburan atau pegangan saham mereka akan terjejas.

Oleh kerana mereka tiada bimbingan dan panduan dari orang-orang yang berpengalaman atau penasihat yang diiktiraf, ia menjadi sukar untuk menyedari kesilapan yang telah atau bakal dilakukan. Justeru, ia melambatkan proses untuk berjaya dan mahir dalam pelaburan dan perdagangan saham.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.

Kepada pembaca yang ingin mempelajari tentang pelaburan dan pedagang saham boleh hubungi talian 019-2352037 (Kuala Lumpur), 013-3108156 (Utara Semenanjung) dan untuk kelas perisiaan carta 013-3899162.