Menurut agensi penarafan antarabangsa itu, kerajaan baharu telah memberi isyarat peralihan penting dalam dasar-dasar utama yang lebih terarah menyokong pendapatan yang rendah dan meningkatkan ketelusan kewangan awam.

Katanya, pilihan fiskal kerajaan terutama pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) memberi impak negatif jangka panjang ke atas kutipan pendapatan negara.

“Tambahan pula, langkah-langkah yang dilaksanakan dan diumumkan lebih tertumpu kepada asas pendapatan berkaitan minyak dan kebergantungan terhadap hasil bukan cukai seperti dividen daripada syarikat milik negara, yang akan membataskan fleksibiliti fiskal pada tahun-tahun akan datang.

“Akibatnya, Moody’s menilai kekuatan fiskal Malaysia telah lemah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Petronas akan membayar tambahan RM30 bilion dalam bentuk dividen khas di bawah Belanjawan 2019 menjadikan komitmen dividen keseluruhan syarikat minyak dan gas negara itu kepada RM54 bilion.

Ini bagi membantu kerajaan membayar tunggakan bayaran balik GST dan cukai pendapatan sebanyak RM37 bilion.

Pada Belanjawan 2019 juga, ia menyaksikan bahagian pendapatan berkaitan petroleum kepada pendapatan keseluruhan selepas ditolak dividen khas dianggarkan meningkat kepada 19.5 peratus tahun depan berbanding 21.7 peratus pada 2018.

Royalti petroleum diunjur mencecah RM5.6 bilion, sejajar dengan anggaran sederhana harga minyak mentah.

Moody’s hari ini memberi penarafan A3 ke atas penerbit mata wang tempatan dan asing serta hutang tidak bercagar kanan dengan unjuran kekal stabil bagi Malaysia.

Jelasnya, pengesahan penarafan A3 Malaysia itu sekali gus mengakui bahawa kekuatan fiskal Malaysia lemah.

“Hutang kerajaan akan kekal tinggi dan pilihan dasar fiskal kerajaan akan menyempitkan asas pendapatan dan mengurangkan fleksibiliti fiskal.

“Pada masa sama, potensi pertumbuhan yang teguh, meskipun terdapat penurunan pada beberapa tahun akan datang dan pasaran modal dalam negeri terus menyokong penilaian pada A3,” katanya.

Tambah Moody’s, rangka kerja institusi yang mantap, termasuk keberkesanan dasar monetari yang kukuh, juga menyokong profil kredit, walaupun pada pandangan firma berkenaan kerajaan akan menghadapi cabaran dalam mengatasi masalah rasuah yang merebak.

“Tinjauan yang stabil mengimbangi kekangan kredit daripada kemampuan hutang yang rendah dan beban hutang yang tinggi di sebalik kekuatan kredit sedia ada, termasuk pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan asas pembiayaan yang stabil dan luas bagi hutang negara.

“Kestabilan relatif dalam keadaan pembiayaan dalam persekitaran global yang lebih lemah juga menyokong prospek yang stabil pada A3,” katanya.