Jarang kita lihat orang muda di dalam lingkungan dua puluhan atau tiga puluhan datang ke syarikat broker saham dalam kalangan orang Melayu. Keadaan ini amat berbeza sekali pada tahun-tahun selepas 2010 yang mana lebih dari separuh peserta seminar saham terdiri daripada generasi muda. Ada yang umurnya baru menjangkau 20an telah pun celik saham.

Justeru, kita boleh membuat andaian bahawa golongan veteran yang memasuki pasaran pada tahun 90an ada yang mengalami kerugian yang tidak dinafikan agak besar jika aktiviti jual beli ini diteruskan sehingga penghujung tahun 1998. Ini kerana indeks pasaran saham telah jatuh berterusan dari paras 1,267 mata kepada 261 mata.

Kita ambil beberapa contoh saham berkaitan indeks yang merupakan saham-saham mewah atau blue chips yang menyokong prestasi turun naik indeks pasaran seperti Malayan Banking Berhad (Maybank), Tenaga Nasional Berhad (Tenaga) dan Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK) . Sewaktu indeks pasaran berada di kemuncak aliran menaik, saham-saham ini mencapai harga melebihi RM5.

Setelah indeks pasaran saham menjunam kepada paras terendah 261 mata, harga Maybank daripada RM7.05 menjadi RM1.30, Tenaga RM8.35 menjadi RM1.30 dan KLK RM6.52 menjadi RM2.15. Ini belum lagi jika kita melihat harga-harga saham di papan kedua.

Pada masa itu Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) yang kini dikenali sebagai Bursa Malaysia, mempunyai papan pertama dan papan kedua. Kesemua saham-saham tersenarai ini mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih dan secara perlahan-lahan harga meningkat naik.

Maka, ada dua keadaan berlaku iaitu pertama ialah kerugian dari segi kejatuhan harga yang banyak dan kedua ialah tempoh masa yang lama untuk harga saham pulih seperti sedia kala.

Selepas pasaran pulih seiring dengan pulihnya ekonomi negara kesan dari kemelut krisis kewangan Asia 1997, pelabur dan pedagang veteran ini telah menyepi dari membeli saham-saham di papan kedua. Ini disebabkan banyak saham di papan kedua masih tidak menunjukkan sebarang peningkatan harga berbanding saham-saham berkaitan indeks. Juga, terdapat banyak saham papan kedua ini telah dinyahsenaraikan dari Bursa Saham Kuala Lumpur.

Saham-saham tersenarai di papan kedua tidak dinafikan harganya agak mahal. Keadaan mahal ini kita boleh disamakan seperti harga saham-saham berkaitan indeks pada hari ini. Terdapat banyak saham di papan kedua yang harganya mencecah RM8 atau RM8,000 bagi 1000 unit saham.

Justeru, di manakah perginya pelabur veteran ini?

Andaian boleh dibuat ke atas pelabur dan pedagang veteran ini ialah mereka tidak lagi menceburi bidang saham selepas krisis tahun 1997-1998. Mungkin ada tetapi bilangannya terlalu kecil. Dan kelompok ini kebanyakannya tidak menambah ilmu pelaburan yang sedia ada. Ilmu yang dimaksudkan ialah ilmu analisis teknikal dan fundamental.

Mereka masih lagi dengan kaedah penggunaan ilmu old school atau cara lama. Satu daripada kaedah old school ini ialah membeli saham ketika sesuatu saham tersenarai memasuki carta saham-saham aktif di dalam senarai 20 ke 30 kaunter aktif berdasarkan jumlah dagangan.

Mereka minat membeli saham-saham yang berada pada bahagian pertama senarai saham-saham aktif yang mempunyai jumlah dagangan yang banyak tanpa membuat kajian dari segi analisis teknikal dan fundamental.

Cara membeli saham dengan kaedah ini adalah kurang sempurna kerana sesuatu saham syarikat tersenarai boleh berada di bahagian yang kita panggil top active counters dalam tempoh yang lama tanpa perubahan harga yang ketara.

Terdapat juga saham tersenarai ini yang berhari-hari atau berminggu-minggu berada di carta saham-saham aktif dengan keadaan harga yang sama dan tiada perubahan harga yang ketara. Sesetengahnya pula berada di carta top active counters tetapi harganya semakin menurun. Maka, jelaslah pendekatan cara lama ini tidak boleh diguna pakai lagi dalam keadaan sekarang lebih-lebih lagi dengan tersebarnya ilmu analisis teknikal dan fundamental dan telah diaplikasi secara meluas oleh pelabur dan pedagang saham era masa kini.

Kita sambung topik ini di minggu hadapan.