Kesemua cadangan yang dibuat oleh aplikasi di telefon pintar anda itu sebenarnya terhasil daripada teknologi yang dikenali sebagai kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI).

AI merupakan satu sistem yang berupaya untuk berfikir sendiri menerusi pembelajaran mesin (machine learning) dan ia dicipta untuk membolehkan komputer melakukan kerja-kerja dengan lebih baik berbanding manusia.

Tanpa kita sedar, AI telah mula digunakan secara langsung dalam bidang aplikasi dan perisian untuk terapi pertuturan, pembelajaran, perancangan dan penyelesaian isu yang pelbagai dan telah menjadi keperluan dalam industri teknologi dan kehidupan harian.

Di negara-negara kuasa eko­nomi terbesar seperti China dan Amerika Syarikat (AS), teknologi berkenaan telah digunakan secara meluas malah China turut mempunyai visi untuk muncul sebagai pemain utama dunia dalam bidang AI menjelang 2030 sekali gus mengalahkan musuh dagangannya, AS.

Industri AI di China telah berkembang 67 peratus sepanjang tahun lalu dan telah menghasilkan lebih banyak paten dan kertas penyelidikan berkenaan AI berbanding AS.

Pada 2017, China telah menerbitkan ‘Rancangan Pemba­ngunan Kecerdasan Buatan Ge­nerasi Seterusnya,’ yang antara lain menggariskan rancangannya untuk menjadi pemimpin dunia dalam industri AI yang kini bernilai hampir AS$150 bi­lion (RM622.60 bilion).

China juga kini mendominasi dana bagi AI dengan 48 peratus daripada keseluruhan dana ekuiti bagi syarikat permulaan global AI datang dari negara berkenaan, meningkat 11.3 peratus pada tahun 2016, manakala musuh utama China, AS pula hanya merekodkan kira-kira 38 peratus dan 13 peratus lagi daripada negara-negara lain di seluruh dunia.

China terus memperkukuh­kan penggunaan AI di negaranya dalam beberapa bidang antaranya kesihatan, kenderaan tanpa pemandu, cip komputer, kewangan, pengecaman wajah, peruncitan dan robotik.

Ini jelas membuktikan China bukan sahaja hanya sekadar berperang dari segi perdagang­an dengan AS, malah dari segi teknologi juga dan negara tembok besar berkenaan juga mempunyai kelebihan ke atas AS de­ngan mengaplikasikan AI dalam bidang khusus seperti diagnosis perubatan dan peruncitan.

Bagaimanapun, situasi itu berlainan di Malaysia.

Menerusi kajian yang dijalankan firma penyelidikan pasaran dan nasihat teknologi maklumat, IDC, penggunaan AI oleh syarikat di Malaysia masih rendah berbanding negara-ne­gara Asia Tenggara yang lain seperti Indonesia, Thailand dan Singa­pura.

Antara alasan yang diberikan syarikat-syarikat termasuklah kosnya yang tinggi, meragui keupayaan AI dan tidak menunjukkan minat bagi memiliki keupayaan AI.

Ini sudah tentunya sesuatu yang amat merugikan kerana syarikat global lain berpusu-pusu meningkatkan tahap kemahiran teknologi masing-masing supaya berada satu tahap ke hadapan berbanding pesaing.

Kegagalan syarikat tempatan merebut peluang bagi memanfaatkan penggunaan teknologi termaju ini hanya akan me­ngurangkan keupayaan bersaing dalam era globalisasi dan revolusi perindustrian 4.0 sekali gus menyukarkan mereka untuk mengukuhkan perniagaan dan akan turut ketinggalan.

Memetik kata Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, Jack Ma pada Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos, Switzerland Februari lalu: “Jika tidak mengubah cara kita mengajar (membina modal insan untuk hari esok), kita akan berdepan dengan masalah da­lam tempoh masa 30 tahun akan datang kerana apa yang diajarkan hari ini adalah sesuatu yang berpandukan pengetahuan (silam) yang berusia 200 tahun.

“Kita juga tidak boleh me­ngajar anak-anak untuk bersaing dengan mesin (komputer) kerana mereka ini (komputer) ­lebih bijak. Oleh itu, kita perlu me­ngajar anak-anak sesuatu yang unik yang tidak boleh disaingi oleh mesin,”.

Jadi, bersediakah syarikat-syarikat Malaysia untuk memulakan perjalanan dan menghadapi cabaran digital baharu ini atau terus kekal selesa berada di takuk yang lama?