Kerajaan sebelum ini menye­mak semula unjuran KDNK daripada 4.3 hingga 4.8 peratus kepada 5.2 hingga 5.7 peratus selepas KDNK separuh pertama 2017 berada di paras 5.7 peratus, melepasi jangkaan banyak pihak.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi negara terus dipacu oleh permintaan dalam negara terutama perbelanjaan sektor swasta.

Katanya, permintaan dalam negara meningkat 6.6 peratus pada suku ketiga 2017 disokong oleh pengembangan berterusan dalam perbelanjaan sektor swasta iaitu 7.3 peratus dan sektor awam (4.1 peratus) dengan penggunaan swasta meningkat 7.2 peratus berikutan keadaan pasaran pekerja yang lebih baik.

“Walaupun KDNK menca­tat prestasi yang bagus, terdapat beberapa faktor yang menyebabkan rakyat ‘tidak merasai’ impak pertumbuhan. Ini disebabkan tekanan kos hidup yang tinggi terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah (B40), kebimbangan peluang pekerjaan dan tuntutan hutang.

“Dalam konteks ini, banyak perkara perlu dilihat semula, antaranya dasar ekonomi yang boleh membantu mencipta pekerjaan, industri yang mewujudkan nilai tambah tinggi dan dasar pendidikan supaya kita boleh melatih pekerja dengan lebih produktif.

“Melangkah ke hadapan, adalah penting untuk mewujudkan pekerjaan yang bagus dan mencukupi supaya rakyat mempunyai pendapatan yang tinggi dan menikmati kehidupan lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar mengumumkan prestasi ekonomi suku ketiga di sini hari ini.

Pada suku ketiga 2017, keada­an pasaran pekerjaan terus menyokong pertumbuhan dengan upah swasta kekal pada 7.3 peratus manakala pertumbuhan jumlah pekerjaan naik dua peratus. Kadar pengangguran pula kekal tidak ber­ubah pada 3.4 peratus.

Kadar inflasi bagi tempoh berkenaan turun kepada 3.8 peratus dengan jang­kaan inflasi ke­seluruhan bagi tahun ini sekitar tiga hingga empat peratus.

Menurut Muhammad, eksport kasar berkembang lebih pantas pada kadar 22.1 peratus mengatasi import dengan lebihan dagangan meningkat kepada RM26.7 bilion berbanding RM24.1 bilion suku sebe­lumnya, manakala lebihan akaun semasa meningkat kepada RM12.5 bilion berbanding RM9.6 bilion suku sebelumnya.

Hutang luar negara turut berkurangan kepada RM873.8 bilion setakat akhir September 2017 daripada RM877.5 bilion pada akhir Jun lalu, jelas beliau.

Mengenai prestasi ringgit, Muhammad berkata, mata wang itu mencatat prestasi terbaik di rantau ini bagi tempoh dua suku berturut-turut disokong oleh pembangunan domestik yang positif walaupun berdepan dengan pelbagai risiko termasuk dasar monetari Amerika Syarikat (AS) dan ketegangan hubungan geopolitik negara itu dengan Korea Utara.

“Ringgit semakin mencatat pres­tasi yang baik berikutan langkah-langkah diambil BNM pada Disember lalu dan Mac tahun ini yang menyaksikan mata wang ini tidak lagi dipengaruhi aktiviti spekulasi,” jelasnya.

Dalam pada itu, mengulas kehilangan pita magnetik CIMB Holding Bhd. yang me­ngandungi data soko­ngan, beliau meminta bank berkenaan mewujudkan satu badan bebas untuk menyia­sat kejadian tersebut dan menjangkakan laporan siasatan dapat dilengkapkan dalam masa terdekat.