Yeah Kim Leng

Pensyarah Ekonomi Sunway University Business School, Dr. Yeah Kim Leng berkata, dengan keyakinan badan antarabangsa itu dan juga berdasarkan beberapa petunjuk ekonomi yang positif tidak mustahil Malaysia boleh mencatat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik iaitu sekitar lima peratus.

Katanya, persekitaran global menunjukkan permintaan yang tinggi bagi aktiviti dagangan terutama eksport yang mampu memenuhi jangkaan sasaran KDNK pada 2017 berbanding tahun lalu.

“Walaupun unjuran IMF itu lebih rendah daripada unjuran pasaran konsensus sekitar lima peratus, ia tetap menunjukkan keyakinan IMF mengenai perkembangan ekonomi Malaysia.

“Jika diukur kepada indeks pengurus pembelian (PMI) ketika ini, ia kekal melebihi 50 mata yang bermakna permintaan glo­bal akan terus kekal kukuh dan berkembang pada separuh kedua tahun ini dengan menyaksikan pertumbuhan dagangan lebih baik terutama kepada Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel pada Persidangan Musim Panas Bank Negara Malaysia (IMF)-BNM yang dirasmikan Gabenor BNM, Datuk Seri Muhammad Ibrahim.

Semalam, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran KDNK negara kepada 4.8 peratus berbanding 4.5 peratus sebelum ini dengan mengambil kira prestasi suku pertama 2017 yang berkembang pada 5.6 peratus. Beberapa peng­analisis sebelum ini turut me­ngunjurkan KDNK negara tumbuhan pada kadar 5.1 peratus tahun ini.

Secara keseluruhan, prestasi ekonomi negara bagi suku pertama 2017 kekal stabil dan kukuh dengan pelaburan langsung asing (FDI) meningkat kepada RM17 bilion manakala eksport dan import ber­kembang 21.4 peratus dan 27.7 peratus, masing-masing kepada RM224.7 bilion dan RM205.8 bi­lion.