Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, laporan tersebut merumuskan pencapaian yang dikecapi oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) dari segi pengurusan ekonomi.

Menurut beliau, kecekapan pengurusan tersebut juga tidak boleh disangkal dengan pelbagai rekod seperti peningkatan pendapatan isi rumah, penurunan insiden kemiskinan dan pengurangan jurang pendapatan.

“Ini juga membuktikan anggapan popular bahawa pendapatan di Malaysia tidak meningkat atau kenaikan pendapatan di Malaysia tidak naik seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Tahap kemiskinan keseluruhan bertambah baik daripada 0.6 peratus pada 2014 kepada 0.4 peratus pada 2016.

“Program Transformasi Ekonomi (NTP) idea Datuk Seri Najib Tun Razak yang mula dilaksanakan pada tahun 2010 telah membuahkan hasil apabila lebih ramai isi rumah di Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2016 itu, pendapatan isi rumah bulanan penengah Malaysia meningkat kepada RM5,228 pada 2016 berbanding RM4,585 pada 2014 iaitu dengan kadar 6.6 peratus pada kadar nominal.

Pada nilai besar, pendapatan isi rumah bulanan penengah meningkat sebanyak 4.4 peratus sekali gus bermaksud pendapatan isi rumah Malaysia berkembang lebih pantas daripada kadar inflasi pada 2.1 peratus sepanjang dua tahun lepas.

Mengulas lanjut Abdul Rahman berkata, tahap kemiskinan di semua negeri telah menurun dengan penurunan yang paling ketara dicatatkan di Sabah daripada empat peratus pada 2014 kepada 2.9 peratus pada 2016.

“Sebenarnya komitmen dan usaha serta hubungan rapat kedua-dua buah kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Musa Aman dan kerajaan Persekutuan telah mendatangkan manfaat dan hasil yang positif kepada rakyat Sabah,” katanya.

Jelasnya, sesetengah pihak kerap membangkitkan isu kadar kemiskinan Sabah yang merupakan kadar tertinggi di Malaysia dengan menuding jari kepada kerajaan tanpa mengetahui tentang struktur ekonomi negara itu.

“Jika mereka mengkaji dengan lebih mendalam, mereka akan faham kenapa negeri tersebut mempunyai kadar kemiskinan yang lebih tinggi berbanding negeri lain.

“Sektor pertanian mewakili 27 peratus daripada ekonomi Sabah yang juga tertinggi di Malaysia, sektor pembuatan hanya menyumbang 8.3 peratus iaitu lebih rendah berbanding negeri lain, sementara sektor perlombongan seperti minyak dan gas tidak sebesar sangkaan orang ramai,” ujarnya.