Jose de Luna-Martinez
JOSE DE LUNA-MARTINEZ

Menurut Laporan Terkini Ekonomi Asia Timur dan Pasifik Bank Dunia, prestasi eksport Malaysia juga akan terus mengukuh pada separuh pertama tahun ini seiring dengan peningkatan kitaran dalam perdagangan global walaupun pada kadar yang lebih rendah berbanding tahun sebe­lumnya.

Katanya, persekitaran luaran akan menjadi faktor utama yang mempengaruhi prospek pertumbuhan Malaysia, antaranya, pelara­san secara mendadak dalam keadaan kewangan global atau pertumbuhan lemah berbanding jangkaan bagi negara-negara ekonomi utama dan pertumbuhan eksport akan memberi impak negatif kepada Malaysia, berdasarkan integrasi antara eko­nomi global dan pasaran kewa­ngan.

“Bagaimanapun, di peringkat domestik, risiko tersebut adalah berkaitan terutama dengan hutang isi rumah dan sektor awam yang tinggi termasuk sentimen ketidaktentuan dalam suasana menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

“Pengukuhan ekonomi memberi peluang kepada Malaysia untuk mempercepatkan pembentukan semula penstrukturan bagi mengekalkan pertumbuhan jangka panjang dan memudahkan peralihan negara ke arah mencapai negara berpendapatan tinggi dalam tempoh beberapa tahun lagi.

“Dalam masa sama, kerajaan juga berikrar untuk kekal komited ke arah pengukuhan fiskal bagi mencapai sasaran 2.8 peratus tahun ini,” katanya dalam laporan berkenaan yang dikeluarkan hari ini.

Bank Dunia dalam laporan itu turut menyemak naik unjuran ekonomi negara pada 2019 kepada 5.1 peratus daripada 4.8 peratus yang dibuat pada Oktober tahun lalu.

Jelas laporan tersebut, dalam usaha mencapai Bajet Persekutuan yang seimbang ia memerlukan gelombang pembaharuan yang lebih mendalam untuk meningkatkan kutipan hasil dan mening­katkan kecekapan sektor awam termasuk program seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

“Ini sama pentingnya dengan mengukuhkan langkah-langkah untuk meningkatkan produktiviti buruh dan melaksanakan pendekatan bagi memastikan pertumbuhan yang inklusif dan menyediakan peluang akses kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pakar Sektor Kewangan Bank Dunia, Jose de Luna-Martinez berkata, Malaysia masih dikenali sebagai pasaran yang menarik kepada bank antarabangsa didorong oleh pelaksanaan amalan dan stan­dard pengawalseliaan yang cekap dalam sektor kewangan terutama perbankan.

Katanya, ini kerana Malaysia adalah pasaran yang dinamik dan secara tidak langsung menjadikan negara ini sebagai pilihan yang menepati keperluan aktiviti bank antarabangsa.

“Ini menjadikan bank serantau seperti Malayan Banking Bhd. (Maybank) dan CIMB Group Holdings Bhd. (CIMB) semakin kukuh dengan aktiviti merentas sempadannya berkembang pesat.

“Keadaan ini berbeza dengan bank-bank di peringkat global yang membuat penyelarasan semula dari segi skala operasi, tetapi sebaliknya bank serantau Malaysia di peringkat Asia dilihat merancang untuk meneruskan pengembangan operasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas pembentangan Laporan Pembangunan Kewangan Glo­bal 2017/2018: Perbankan Tanpa Sempadan yang turut dihadiri Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Abdul Rasheed Ghaffour di sini hari ini.