Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu dimuktamadkan ketika be­liau mempengerusikan Mesyuarat Menteri-menteri Kawasan Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand ke-24 minggu lalu.

Katanya, perkara itu perlu ditangani secara holistik dengan memastikan pendekatan yang diambil dapat me­ng­atasi ketidaksamarataan pertumbuhan di seluruh negara dan juga dari segi ketidakseimbangan pendapatan terutama melibatkan kumpulan B40, kadar pengangguran belia yang tinggi dan peningkatan kos sara hidup.

“Malaysia kekal terperangkap da­lam pendapatan pertengahan kerana kita tidak berupaya untuk berubah ke arah negara berpendapatan tinggi. Tambahan pula, KDNK per kapita tahun lalu yang diukur dalam nominal dolar Amerika Syarikat (AS) menurun kepada AS$9,944 (RM41,287.49) da­ri­pada AS$11,1183 (RM46,431.82) pada 2014.

“Namun, kerajaan yakin dapat me­­ngeluarkan diri daripada perang­kap pendapatan pertengahan ini me­mandangkan kita perlu terus ber­kembang untuk menjadi ekonomi ber­pendapatan tinggi,” katanya da­lam ucapan perasmian Khazanah Me­gatrends Forum 2018 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah), Datuk Shahril Ridza Ridzuan.

Sebelum ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menggariskan lima faktor utama yang menyebabkan pertumbuhan KDNK yang tinggi tidak dapat dirasai oleh semua kelompok masyarakat disebabkan pengagihan pendapatan tidak sekata, kos sara hidup meningkat, kemampuan memiliki rumah, hutang isi rumah yang tinggi dan persepsi mengenai rasuah.

Menurut beliau, dari segi pelabu­ran langsung asing (FDI), kerajaan perlu memberi penekanan kepada FDI jangka panjang bagi pelaburan-pelaburan baharu yang mampu me­wujudkan peluang pekerjaan, me­ningkatkan kuasa beli dan ekosistem ekonomi yang lebih baik.

Mengenai Khazanah, Azmin ber­ka­ta, tiada sebarang perbincangan dibuat untuk meletakkan orang asing dalam ahli lembaga pengarah Kha­zanah walaupun memerlukan satu pasukan yang kuat untuk mengetuai institusi pelaburan tersebut.

“Ya, kami memang memerlukan satu pasukan yang profesional dan individu yang boleh memahami se­suatu isu bagi membolehkan Khaza­nah diuruskan dengan baik tetapi perkara itu (meletakkan orang asing) tidak dibincangkan dalam mesyuarat dengan lembaga pengarah yang pertama bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, dalam mesyuarat tersebut, kerajaan perlu melihat beberapa cabaran baharu termasuk me­misahkan pembangunan strategik dan komersial Khazanah.

“Terdapat keperluan untuk meningkatkan beberapa program pembangunan strategik antaranya penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan pelaburan hijau manakala dari segi komersial pula, kami akan melibatkan beberapa syarikat berbeza untuk memastikan pulangan yang baik kepada syarikat,” katanya.