Menurut MIDF Research, semakan unjuran itu dibuat setelah menyaksikan dagangan global antara Januari hingga April yang kukuh dengan trend yang positif dan dijangka kekal sepanjang tahun ini dengan eksport merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima bulan berturut-turut.

Katanya, eksport yang dijangka berkembang pada 14.5 peratus berbanding 8.5 peratus sebelum ini didorong oleh industri berasaskan eksport seperti elektik dan elektrikal, produk bahan kimia, petroleum dan minyak sawit.

“Dengan prestasi dagangan global yang semakin baik, pastinya ia akan memberi kesan kepada aktiviti ekonomi domestik menerusi pengeluaran, pelaburan, pekerjaan, pendapatan dan penggunaan.

“Berdasarkan faktor ini, kami melihat tidak mustahil negara akan mencatat pertumbuhan eko­nomi pada 5.1 peratus tahun ini berbanding unjuran 4.9 peratus sebelum ini,” katanya dalam nota kajian di sini hari ini.

Pada suku pertama tahun ini, ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya dan merupakan prestasi terbaik yang dicatatkan sejak suku pertama 2015, iaitu 5.8 peratus.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Muhammad Ibrahim ketika membentangkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama berkata, prestasi kukuh yang dicatatkan pada suku pertama itu mencerminkan kedudukan ekonomi negara berada dalam momentum yang tepat untuk mencapai unjuran KDNK antara 4.3 hingga 4.8 peratus tahun ini.

Bagi tempoh berkenaan, pertumbuhan permintaan domestik meningkat 7.7 peratus manakala penggunaan swasta berkembang 6.6 peratus dan penggunaan awam pula merekodkan pertumbuhan kukuh pada 7.5 peratus.

Data eksport pada April ber­kembang 20.6 peratus manakala import pula 24.7 peratus dengan keseimbangan dagangan me­­ningkat kepada RM8.75 bilion, lebih baik ber­banding pura­ta suku pertama pada RM6.3 bilion.

Menurut MIDF Research, sentimen per­niagaan dan pe­ngguna dalam ka­langan negara membangun dan ekonomi baharu muncul juga op­­timis pada bulan-bulan akan da­tang, apatah lagi University of Michigan menunjukkan sentimen pengguna di Amerika Syarikat (AS) merekodkan 97.1 mata pada Mei, tertinggi dalam tempoh empat bulan.

“Dengan ekonomi Malaysia di­lihat turut berkembang lebih lima peratus pada suku ke­dua 2017, secara tidak langsung mencerminkan keyakinan perniagaan yang kukuh terhadap semua sektor utama.

“Oleh itu, berdasarkan trend ini, kami percaya permintaan global yang kukuh akan menyokong pres­tasi dagangan Malaysia untuk sepanjang tahun ini,” katanya.