Tony Fernandes
Tony Fernandes

Menurut Mavcom, sebagai sebahagian daripada kajian semula itu, Mavcom mengadakan proses rundingan melibatkan pihak berkepentingan dalam industri termasuk sya­rikat penerbangan, pe­ngen­dali lapangan terbang dan industri berkaitan.

Jelasnya, bagaimanapun PSC yang dikenakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ku­ala Lumpur 2 (KLIA 2) bagi destinasi antarabangsa di luar ASEAN adalah lebih rendah berbanding lapangan terbang lain di Malaysia.

“Seperti diumumkan sebelum ini, Mavcom merancang untuk menyeragamkan PSC di KLIA2, bergantung kepada keputusan kajian semula yang sedang dijalankan dan berasaskan beberapa rasional.

“Ini termasuk bagi mengelakkan penumpang di lapangan terbang yang lain di Malaysia daripada mendapat subsidi operasi di KLIA2 dan mengurangkan subsidi yang dibayar kerajaan. Selain itu, kita juga mahu bergerak ke arah metodologi penetapan lapangan terbang yang diterima di peringkat antarabangsa.

“Dalam masa sa­ma, KLIA2 adalah setanding dengan KLIA berbanding Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dari segi kemudahan dan lebih baik berbanding lapangan terbang sekunder di Malaysia,” jelasnya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini.

Baru-baru ini, Ke­tua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Bhd., Tan Sri Tony Fernandes menerusi akaun Twitter @tonyfernandes meminta Mavcom memberi penjelasan terhadap PSC yang sama di terminal KLIA dan KLIA2.

Beliau mempertikaikan me­ngapa KLIA dan KLIA2 mempu­nyai PSC yang sama dan bagaimana Mavcom akan memberi justifikasi kepada orang ramai tentang bayaran yang dikenakan itu. Fernandes juga mahu suruhanjaya itu melihat kejayaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang mengenakan caj lebih rendah kepada penumpang.

Pengawal selia penerbangan, Mavcom yang ditubuhkan pa­da Mac tahun lalu telah menyemak semula PSC pada Oktober tahun lalu untuk menyera­gamkan kadar bagi kedua-dua terminal KLIA dan KLIA2.

Dalam sidang akhbarnya Ogos lalu, Ketua Pegawai Operasi Mavcom, Azmir Zain berkata, pihaknya masih mengkaji ke­perluan untuk menya­makan PSC di KLIA dan KLIA2 yang dijangka dikuatkuasakan pada Januari 2018.

Pelaksana­an PSC itu akan me­nyaksikan caj yang di­kenakan meningkat daripada RM50 kepada RM73 bagi penerbangan jarak jauh mulai tahun depan.

Menurut beliau, Mavcom sedang membangunkan rangka kerja jangka panjang untuk me­netapkan caj lapangan terbang dan pada masa akan datang mengkaji ke­perluan caj pendaratan dan meletak pesawat bersekali dengan PSC.