Ketua Penyelidikan InterPacific Securities, Pong Teng Siew berkata, kajian semula pautan Bursa Malaysia-SGX boleh melibatkan sama ada sifat atau struktur pautan dagangan atau penghapusan pautan, yang beliau percaya tidak mungkin.

"Pautan perdagangan itu bertujuan untuk menggalak akses kepada saham Malaysia untuk pelabur asing dan sebaliknya, jadi kajian semula boleh menjadi sesuatu yang lebih kepada semakan struktur dan bukan pembatalan.

"Mungkin kajian itu juga boleh merangkumi penggabungan kedua-dua bursa, tetapi saya tidak fikir begitu," katanya kepada Bernama.

Dikenali sebagai "Malaysia-Singapore Connect", pautan itu diumumkan pada Februari lepas untuk menawarkan akses mudah dan lancar kepada pelabur Malaysia dan Singapura ke pasaran saham kedua-dua negara.

Pautan perdagangan yang dicadangkan, yang dijadual dilancarkan menjelang akhir tahun, akan dipermudahkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS).

Bagaimanapun, Perdana Menteri yang baru dipilih Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan bahawa pautan perdagangan tersebut akan dikaji semula.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan percaya kajian itu bertujuan meningkatkan kecairan pasaran, terutama di kalangan peserta runcit di kedua-dua pasaran saham.

"Jika kerajaan merancang untuk membatalkannya, langkah itu berpotensi menjejaskan pelabur runcit kerana terdapat ramai peruncit Singapura yang berminat dengan saham Malaysia. Ia akan memberi kesan kepada peserta runcit dan kecairan pasaran.

"Kerajaan baru perlu mencari cara dan pilihan untuk memacu kecairan pasaran lagi," katanya.

Pong dan Nazri berpendapat. kajian semula itu tidak memberi banyak impak kepada prestasi ekuiti tempatan, sekurang-kurangnya, tidak dalam masa terdekat.

Penganalisis Penyelidikan MIDF, Danial Razak bersetuju bahawa kajian semula itu tidak mungkin mempunyai kesan besar terhadap asas sentimen.

"Dengan mengandaikan bahawa pautan perdagangan akan dibatalkan, kami tidak fikir ia akan mempunyai kesan penting terhadap sentimen keseluruhannya," katanya.

Dalam respons ringkas kepada Bernama melalui e-mel, SC berkata, ia akan memberikan maklumat yang relevan untuk membantu kerajaan mengkaji semula pautan Malaysia-SGX. - BERNAMA