Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, ini susulan pengumuman oleh Menteri Alam Sekitar Perancis, Nicholas Hulot baru-baru ini yang mencadangkan pelaksanaan langkah lebih ketat untuk mengehadkan penggunaan minyak sawit dalam bahan api bio atas alasan bertujuan mengurangkan pembasmian hutan di negara asal komoditi itu.

“Ini memberi tekanan terhadap industri minyak sawit serta pengeluarnya.

“Saya percaya serangan sedemikian perlu dihentikan dalam usaha memastikan perdagangan antara Malaysia dan Perancis kekal kukuh dan dapat berkembang,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi 2017 (TOT 17) di sini hari ini.

Siew Keong berkata, sebahagian besar kenyataan oleh Menteri Perancis itu juga tidak tepat yang mana lebih 65 peratus daripada pengeluaran biji sesawit telah ditumpukan untuk digunakan sebagai bahan api bio dan berkaitan tenaga boleh baharu.

“Namun Eropah termasuk Perancis masih gagal memenuhi sasaran ketetapan mandat Arahan Tenaga Boleh Baharu (RED) dan sebaliknya terus bergantung kepada minyak import termasuk minyak biji bunga matahari, kacang soya dan sawit untuk menampung permintaan dalam Eropah.

“Hulot ternyata mengete­pi­kan fakta bahawa minyak sawit yang digunakan di Eropah mengikut mandat RED mestilah daripada sumber mapan yang disahkan,” katanya.

Siew Keong berkata, Malay­sia sebagai pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit dan secara tradisi menggalakkan pengeluaran minyak sawit secara mapan, akan melaksanakan pensijilan kelestarian peringkat industri menerusi Standard Minyak Sawit Mapan.

“Saya mahu menegaskan bahawa minyak sawit Malaysia bukanlah pemacu atau punca pembasmian hutan tropika,” katanya.

Siew Keong turut menggesa Perancis serta negara-negara Eropah lainnya untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menangani kebimbangan mengenai aspek kemapanan daripada menumpukan langkah berbentuk ‘menghukum’ yang tidak memberi sebarang manfaat.

Sementara itu, acara tahunan TOT 17 yang dianjurkan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia, bertujuan mengetengahkan teknologi dan perkhidmatan baharu dalam industri minyak sawit serta menggalakkan usahawan mengkomersialkan inovasi mereka.

Menurut Siew Keong, seba­nyak 18 teknologi baharu dan sembilan perkhidmatan baharu meliputi aktiviti di peringkat huluan, hiliran dan pertengahan industri sawit akan diperkenalkan pada program sehari berkenaan. – BERNAMA