Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI), Dr. Suraya Ismail berkata, skim bantuan perumahan yang diperkenalkan kerajaan kini telah dibuka kepada T20 dan ia dilihat membebankan kedudukan fiskal kewangan kerajaan.

Ujarnya, KRI berpendapat bagi mengatasi masalah tersebut, pihak pemaju swasta seharusnya menjadi lebih efisien dalam menawarkan perumahan dengan harga mampu milik bagi golo­ngan M40 (berpendapatan bulanan antara RM3,860 hingga RM8,319) dan T20 (berpendapatan bulanan RM8,320 ke atas).

“Isunya di sini adalah kebanyakan rumah yang dibangunkan oleh sektor swasta tidak mampu milik, kami menyeru pihak-pihak berkaitan untuk membantu sektor swasta ini mengurangkan harga hartanah bagi memastikan golo­ngan sasar M40 dan T20 mampu memiliki rumah tanpa memerlukan bantuan daripada kerajaan.

“Tidak ada kerajaan dari mana-mana negara di dunia ini yang memberikan bantuan kepada golongan T20 dan kita tidak seharusnya berbuat demikian,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi perbinca­ngan bertajuk Housing as Habitat: A case of Market Failure or Institutional Limitation? di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani; Pengarah Pusat Kajian Peranca­ngan dan Perumahan Cambridge, Profesor Michael Oxley; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, Jayaselan K. Navaratnam; Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor dan Ketua Setiausaha Pertubuhan Serantau Timur Untuk Peranca­ngan dan Penempatan Manusia (EAROPH), Norliza Hashim.

Awal tahun ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan dua perubahan dasar Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) berkuat kuasa serta-merta.
 Menurutnya, perubahan itu membabitkan had kelayakan pendapatan isi rumah untuk memiliki rumah PR1MA dari RM10,000 ditingkatkan kepada RM15,000.
 “Selain itu, had moratarium penjualan dan penyewaan rumah PR1MA dipendekkan daripada 10 tahun ke lima tahun. Perubahan dasar ini adalah usaha kerajaan bagi membolehkan hasrat rakyat untuk memiliki rumah akan dapat direalisasikan,” kata Perdana Menteri.

Tambah Suraya, beberapa skim rumah mampu milik yang diper­kenalkan kerajaan, mahupun Kerajaan Pusat dan negeri kini telah me­langkaui nilai ambang pendapatan bagi kelompok T20.

Ujarnya, menurut data yang dikumpul KRI, antara skim tersebut termasuklah PR1MA, Rumah Mampu Milik Pulau Pinang, Rumah Mampu Milik Wilayah Perseku­tuan (Ruma­wip), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) serta Rumah Mampu Milik Syarikat Perumahan Negara Bhd. (SPNB).

Dalam pada itu, Jayaselan berkata, kerajaan masih dan akan tetap memberikan fokus ter­utamanya kepada golongan B40.

“Ini adalah tumpuan utama kerajaan, iaitu bagi memberikan bantuan kepada kelompok B40. Bagi M40 dan T20 ia le­bih kepada pasaran terbuka,” jelasnya.