Namun berbeza pula senario rakyat di negara ini kerana kebanyakan beranggapan diri mereka miskin sebaliknya berada dalam kategori miskin rasa ‘syukur’

Golongan tersebut dikategorikan sebagai miskin ‘relatif’ iaitu seseorang merasakan mereka miskin berbanding orang lain walhal segala keperluan asas termasuk makanan mencukupi melalui pendapatan diperoleh.

Ketua Perangkawan, Jabatan Perangkaan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin (gambar) berkata, kebanyakan rakyat Malaysia tergolong dalam kategori tersebut berikutan tidak mampu untuk memenuhi kehendak atau keinginan mendapatkan sesuatu benda lebih daripada kemampuan walaupun setiap keperluan mereka sudah dipenuhi.

“Mereka mula merasakan miskin walaupun mempunyai gaji RM3,000 yang sebenarnya jauh melebihi daripada garis kemiskinan mengikut pengiraan standard antarabangsa bagi mengkategorikan seseorang itu miskin.

“Perkara itu adalah satu perasaan normal sebagai contoh apabila sebuah telefon pintar baharu dilancarkan pasti ramai yang menginginkannya sedangkan telefon sedia ada belum setahun digunakan malah dalam keadaan baik. Tetapi pada hakikatnya tiada kemampuan membelinya,” katanya ketika dihubungi S2 di sini baru-baru ini.

Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang dikeluarkan pada 2016 menyatakan bahawa bagi kawasan Semenanjung Malaysia kategori miskin adalah mereka yang mempunyai pendapatan bulanan RM970 ke bawah bagi kawasan bandar manakala RM880 bagi kawasan luar bandar.

Di Sabah dan Labuan pula adalah RM1,170 (bandar) dan RM1,220 (luar bandar) manakala di Sarawak pula RM1,070 (bandar) dan RM940 (luar bandar).

Bagi kadar kemiskinan pula, Malaysia berada pada 0.4 peratus pada 2016 yang merupakan terendah antara negara Asia Tenggara dengan jumlah pendapatan purata RM6,598 manakala purata perbelanjaan isi rumah bandar adalah RM4,402.

Mohd. Uzir berkata, kadar kemiskinan dikira menggunakan kaedah pengiraan PGK iaitu meliputi keperluan makanan dan bukan makanan di bawah kos keperluan asas.

Beliau memberitahu, pengiraan PGK akan mengikut perubahan sosioekonomi yang sentiasa dikemas kini selaras dengan perubahan harga serta perubahan pola kehidupan masyarakat di bandar atau luar bandar.

“PGK bertujuan untuk panduan pelaporan kemiskinan peringkat nasional manakala untuk penyaluran bantuan (kumpulan sasar) ia bergantung kepada pendapatan dan keperluan setiap isi rumah,” jelasnya.

Mohd. Uzir berkata, Malaysia kini dalam fasa terakhir dalam membasmi kemiskinan sepenuhnya pada 2020 dengan menumpukan bantuan secara terus dengan bantuan lain secara menyeluruh dilaksanakan oleh kerajaan.