Menurut firma penganalisis itu, inflasi pengangkutan mungkin menjadi sederhana berbanding bulan sebelumnya kerana harga bahan api dalam negara jatuh 5.2 peratus bulan ke bulan namun kekal sebagai penyumbang utama kepada inflasi secara tahun ke tahun.

Jelasnya, inflasi makanan juga dijangka kekal menjadi penyumbang utama kepada kadar inflasi.

“Kami menjangkakan bank pusat mengekalkan inflasi teras dan pertumbuhan yang dipacu oleh langkah-langkah pembekalan,” jelasnya dalam nota kajian di sini hari ini.

Jabatan Statistik Malaysia dijangka mengeluarkan data terkini IHP pada Rabu ini.

IHP Malaysia meningkat 4.4 peratus bagi asas perbandingan tahun ke tahun pada April lalu berbanding 2.1 peratus yang dicatatkan pada bulan yang sama tahun lepas.

Antara kumpulan utama yang mencatatkan peningkatan ialah indeks pengangkutan serta makanan dan minuman bukan alkohol.

Menurut jabatan itu, indeks kumpulan pengangkutan mencatatkan kenaikan ketara iaitu 16.7 peratus pada asas tahun ke tahun bagi April 2017, setelah meningkat 23 peratus pada Mac 2017.

Semasa bulan dalam kajian, indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol yang menyumbang 30.2 peratus daripada wajaran IHP, meningkat 4.1 peratus, didorong oleh indeks kumpulan kecil makanan minyak dan lemak, ikan dan makanan laut, daging, buah-buahan serta sayur-sayuran.

Bagi tempoh Januari hingga April 2017, IHP meningkat 4.3 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas, terutamanya disebabkan kenaikan dalam indeks makanan dan minuman bukan alkohol yang menambah 4.1 peratus.