Beliau berkata, kadar inflasi bulanan secara purata telah meningkat hanya satu peratus tahun ke tahun untuk 11 bulan yang pertama dalam 2018.

Menurutnya, ini sebahagian besarnya disebabkan oleh pemansuhan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan pengenalan semula cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

"Mata wang ringgit juga telah meningkat ke RM4.14 untuk AS$1 hari ini daripada RM4.20 pada bulan November 2018 semasa ringgit berada pada paras terlemah berbanding mata wang dolar Amerika Syarikat.

"Malaysia masih mempunyai lebihan akaun semasa yang tinggi pada RM22.7 bilion, atau 2.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat September 2018," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG 

Guan Eng menegaskan, sistem perbankan Malaysia mempunyai kecairan yang mencukupi manakala sistem monetari negara berada dalam keadaan yang sihat dan stabil.

Katanya, kerajaan akan terus menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara mampan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Mengulas berhubung laporan mengenai angka perdagangan bagi bulan Ogos lalu oleh sebuah media dari Jepun yang ditularkan oleh pihak-pihak tertentu baru-baru ini, beliau berkata, persepsi yang diberikan oleh angka bulanan adalah tidak tepat.

Tambahnya, ini kerana ia tidak mampu menggambarkan prestasi ekonomi Malaysia untuk seluruh tahun.

"Perkara ini terutamanya apabila hanya dua bulan kemudian selepas bulan Ogos, lebihan dagangan bagi bulan Oktober 2018 telah meningkat kepada paras tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu RM16.3 bilion," katanya. - UTUSAN ONLINE