Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, kerajaan bersama pihak majikan dan pekerja telah bersetuju dengan kadar tersebut dan ia merupakan antara yang terendah di dunia setelah dilaksanakan lebih dari 75 buah negara.

Beliau berkata, SIP yang akan bermula pada 2018 merupakan jaringan keselamatan sosial amat penting untuk membantu pekerja yang kehilangan pendapatan disebabkan hilangnya pekerjaan.

“Kita menjangkakan caruman daripada SIP bermula pada 2018 bernilai RM479 juta dan bilangan yang layak untuk menikmati pembayaran ialah seramai 57,282 orang pada tahun yang sama.

“Kerajaan percaya bahawa SIP akan memainkan peranan penting sebagai penstabil ekonomi dan memberi kesan positif dalam mengekalkan aktiviti ekonomi negara secara mampan sekiranya berlaku kegawatan ekonomi,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis Taklimat Kepada Ketua-Ketua Pengarang berhubung SIP di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pada Ogos lalu, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) menolak cadangan kerajaan untuk melaksanakan SIP kerana menyifatkan jumlah pe­kerja yang kehilangan pekerjaan akibat penutupan syarikat sa­ngat sedikit.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bar­dan berkata, skim berkenaan tidak adil kerana sekiranya dilaksanakan pekerja hanya akan memperoleh faedah yang rendah iaitu enam peratus manakala ba­kinya akan digunakan untuk menampung kos insu­rans.

“MEF menolak cadangan 0.5 peratus daripada gaji dan mungkin boleh mempertimbangkan sekiranya kerajaan, majikan dan pekerja sama-sama menyumbang RM1 setiap bulan,” katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Richard berkata, kerajaan pada 17 Mac lalu telah memutuskan supaya SIP dilaksanakan mulai Januari 2018 manakala bayaran faedah sistem itu bermula pada Januari 2019.

Katanya, bagaimanapun pekerja yang meninggalkan pekerjaan secara sukarela, pekerja kontrak, bersara dan dipecat kerana kelakuan buruk tidak layak untuk memohon manfaat SIP.