Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Datuk Wan Ha­­shimi Albakri berkata, kadar am­­bilan yang tinggi itu dicapai melalui pengekalan strategi yang menawarkan produk yang tepat pada masanya, lokasi serta harga yang betul kepada pembeli.

Menurut beliau, Azira merupakan kediaman pertama di Bandar Bukit Raja yang menerapkan konsep ‘Prinsip Reka Bentuk Kediaman BBR’ yang memfokuskan empat nilai utama iaitu pengudaraan dan pencahayaan semula jadi, harmoni dengan alam serta kediaman berbilang generasi.

“Terdapat 111 buah rumah dua tingkat dengan keluasan binaan bermula daripada 1,901 kaki persegi hingga 2,275 kaki persegi serta dilengkapi empat bilik tidur dan empat bilik mandi. Kediaman ini adalah pegangan bebas dan harga jualan bermula daripada RM678,888 sebuah sebelum diskaun bumiputera.

“Sebagai kesinambungan dan evolusi kediaman yang ada di Bandar Bukit Raja sebelum ini, Azira mengetengahkan reka bentuk tropika moden kontemporari yang menyediakan bukaan bersaiz besar dan jendela gaya gambar yang luas bagi memberikan pemandangan yang menarik serta pengudaraan yang baik. Azira dijangka siap pada Januari 2020,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Hashimi menambah, Ban­dar Bukit Raja merupakan antara perbandaran utama dan bersepadu Sime Darby Property di Klang.

Jelasnya, sejak dilancarkan pada 2002 ia menjadi sebuah kawasan pembangunan kediaman yang sinonim dengan pertumbuhan nilai merangkumi keluasan 1,782 hektar dengan lebih daripada 90 peratus kawasan tanah yang bakal dibangunkan.

Katanya lagi, peningkatan rangkaian sambungan dan lebuh raya sekitar Bandar Bukit Raja akan dijalankan seperti penyiapan Le­buhraya Pantai Barat (WCE), sambungan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ke Klang dan menaik taraf Jalan Meru.