Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, kempen yang melibatkan empat pelancaran baharu iaitu M Centura, Sentul; M Vertica, Cheras; M Vista, Pulau Pinang dan Fern fasa 2 di Meridin East, Johor mendapat sambutan mengga­lakkan daripada pembeli.

Menurutnya, setakat ini Mah Sing telah melancarkan tiga projek iaitu M Centura, M Vista dan Fern fasa 2 manakala M Vertica pula telah mula dibuka untuk pendaftaran di laman web www.mvertica.com.my.

“Sambutan yang kami terima menerusi tiga projek yang merekodkan kadar ambilan sehingga 95 peratus menunjukkan kesan terbaik daripada pembentangan Bajet 2018 yang telah meningkatkan sentimen dan keyakinan bagi pasaran hartanah.

“Kami akan meneruskan kempen Reinvent Affordability dengan menyediakan kediaman di kawasan terbaik pada harga mampu milik selain hadir de­ngan susun atur praktikal dan kemudahan yang baik.

“Apa yang paling penting adalah pembeli juga akan mendapat akses mudah termasuk pe­ngangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kempen Reinvent Afforda­bility juga merangkumi Rewards Reloaded Incentive Mah Sing bernilai RM23 juta yang menjadikan pemilikan projek-projek sedia ada lebih menarik menerusi pemberian insentif seperti kereta, bungkusan dan baucar hiasan dalaman.

Mengulas lanjut, Hoy Kum berkata, kempen berkenaan juga sejajar dengan pelbagai insentif yang diumumkan dalam Bajet 2018 termasuk skim pembiayaan step up, program MyDeposit dan pengurangan cukai pendapatan sekali gus memenuhi aspirasi kerajaan dalam menangani masalah kekurangan rumah mampu milik kepada kumpulan berpendapatan sederhana.

Jelasnya, Mah Sing sentiasa komited dalam menjadi pe­neraju pemaju hartanah negara yang menyediakan kediaman mampu milik tetapi mempu­nyai ciri-ciri premium.

“Kami juga memuji komitmen kerajaan dalam me­ningkatkan taraf pendidikan dengan menyediakan peruntukan lebih besar bagi sektor pendidikan dalam Bajet 2018 apabila meluluskan pembinaan 10 lagi sekolah di Johor dan Selangor.

“Malah, sebuah daripada sekolah berkenaan iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Sim Mow Yu akan dibina di Meridin East Johor,” katanya.