Pengarah penyelidikan Gart­ner, Anshul Gupta berkata, jenama China seperti Huawei, Oppo dan Vivo terus berkembang kerana strateginya membina telefon pada harga berpatutan telah melariskan jualan mereka.

Jelas beliau, gabungan penguasaan pasaran ketiga-tiga jenama terbabit pada suku pertama 2017 adalah sebanyak 24 peratus iaitu peningkatan tujuh peratus dari tahun ke tahun.

“Tiga pengeluar telefon pintar dari China ini sedang memacu jualan dengan harga yang kompetitif serta telefon yang berkualiti tinggi dilengkapi dengan pelbagai ciri-ciri inovatif.

“Selain itu, strategi pemasaran yang agresif juga membantu mereka mengambil alih penguasaan pasaran jenama lain seperti di India, Indonesia dan Thailand,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Gupta, jualan telefon pintar Samsung menurun 3.1 peratus pada suku pertama 2017 walaupun syarikat itu mengumumkan tempahan Galaxy S8 dan S8+ meningkat 30 peratus.

“Ketiadaan alternatif bagi Note 7, selain persaingan sengit dalam segmen telefon pintar asas terutama di China telah menyebabkan Samsung terus kehilangan penguasaan pasaran,” ujarnya.

Katanya, jualan iPhone yang tidak berubah juga telah menyebabkan jenama itu semakin kehilangan penguasaan pasaran, selain menerima saingan dari jenama China.

Gupta berkata, Huawei semakin hampir dengan Apple apabila jualan telefon pintarnya berjumlah 34 juta unit pada suku pertama 2017, menjadikannya jenama ketiga paling dominan.

“Selain itu, Oppo juga terus mengejar Huawei dengan peningkatan jualan di peringkat global sebanyak 94.4 peratus, malah dianggap sebagai jenama prestasi terbaik pada tempoh kajian.

“Vivo pula berjaya menjual hampir 26 juta telefon pintar dan mencapai penguasaan pasaran sebanyak 6.8 peratus yang membantu jenama itu mencapai pertumbuhan 84.6 peratus,” katanya.