Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tahun lalu menyaksikan EEV merekodkan sebanyak 42.8 peratus daripada TIV keseluruhan berbanding 32.6 peratus pada tahun 2015.

Beliau berkata, jumlah jualan kenderaan pada tahun ini juga menunjukkan perkembangan po­­sitif dengan sejumlah 284,461 unit kenderaan telah terjual untuk tempoh Januari hingga Jun 2017.

“Jumlah tersebut merupakan peningkatan 3.3 peratus berban­ding 275,483 yang direkodkan tahun lalu.

“Tahun ini TIV dijangka berkembang pada kadar 1.7 pe­ratus disokong oleh keadaan ekonomi yang semakin pulih,” katanya berucap merasmikan Pusat Rekaan Institut Automotif Malaysia (MAIDC) di Sungai Choh, Kajang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Datuk Mohamad Madani Sahari dan Presiden dan Ke­tua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Pe­rodua), Datuk Aminar Ra­shid Salleh.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (II), Datuk Ahmad Maslan.

Sementara itu Ahmad Maslan berkata, MAIDC yang didirikan dengan kos RM10 juta akan digunakan oleh pihak Perodua dan 120 vendor tempatan bagi tujuan me­ningkatkan penggunaan Industri 4.0 dalam kalangan pemain industri automotif negara terutamanya dalam bidang kejuruteraan rekaan, simulasi dan prototaip.

“Ini merupakan kerjasama antara pihak kerajaan dan industri ter­utamanya MAI, Perodua dan vendor mereka, ia juga akan menjadi sebuah platform perkongsian bagi industri 4.0 yang boleh digunakan oleh semua vendor bagi memanfaatkan sebarang perisian dan kemudahan yang tersedia di sini.

Dalam pada itu, Mohamad Ma­dani berkata, menerusi MAIDC ini juga mampu memberi penjimatan sekurang-kurangnya 30 peratus ba–gi kos-kos rekaan yang sebelum ini ditanggung oleh pihak pengeluar kende­raan, pembekal komponen tulen vendor-vendor.

“Ini kerana kami di sini mengguna pakai teknologi terkini yang antara lain seperti mesin pencetak 3D serta realiti maya bagi menghasilkan sesebuah rekaan, ja­di kosnya akan menjadi lebih rendah,” katanya.