Menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB Research), kadar jualan a­sing menjadi perlahan daripada RM9.8 bilion pada April berikutan laporan bahawa penyedia indeks global, FTSE Russell akan mengeluarkan bon kerajaan tempatan daripada FTSE Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI).

“Persaingan AS-China mungkin telah menjejaskan sentimen, apabila rakan serantau Indonesia sama-sama menyaksikan permintaan asing yang lemah dengan aliran keluar sebanyak AS$700 juta (RM2.91 bi­lion) daripada bon Rupiah pada Mei berbanding AS$500 juta (RM2.08 bilion) pada April walaupun keputusan rasmi me­nunjukkan kemenangan pilihan raya presiden memihak kepada Jokowi,” katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

Maybank IB Research berkata, dari segi instrumen, MGS menyumbang sebahagian besar aliran keluar sebanyak RM3.8 bilion dan jumlah tersebut tidak mengejutkan disebabkan kedudukan wang asing yang lebih tinggi.

Firma penyelidikan itu berkata, pihaknya juga mendapati terdapat beberapa jualan asing di GII tetapi dalam jumlah yang kurang signifikan iaitu sebanyak RM500 juta.

“Selepas aliran keluar, jumlah hutang luar negeri dalam mata wang ringgit menurun kepada RM175.9 bilion berbanding RM180 bilion pada April.

“Ia termasuk aliran keluar RM2 bilion daripada ekuiti dalam negeri, aliran portfolio keseluruhan adalah berjumlah RM6.2 bilion berbanding RM11.2 bilion pada April,” katanya.

Sementara itu katanya, ringgit juga kini lemah berbanding dolar AS dengan mata wang global berkenaan meningkat kepada 4.19 berbanding mata wang tempatan pada akhir Mei daripada 4.135 pada akhir bulan April, atau kerugian 1.3 peratus bulan ke bulan.

Ringgit meningkat berban­ding dolar AS pada pagi ini susulan kebimbangan terhadap perang perdagangan antara AS dan Mexico yang kini semakin reda, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit berada pada 4.1600/1650 berban­ding dolar AS daripada paras 4.1610/1650 pada Selasa. Mata wang tempatan itu kemudian ditutup pada 4.1585/1615 pada sesi petang.