Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, K. N. Jayaselan berkata, ketiadaan perjanjian jual beli hartanah untuk tujuan wakaf akan mendatangkan risiko kerugian kepada pembeli sekiranya pemaju tidak dapat menyiapkan pembinaan rumah di atas tanah tersebut.

Menurutnya, tanah wakaf adalah tanah kekal malah tidak boleh dipindah milik dan menjadi hak milik majlis agama negeri jadi sekiranya pemaju tidak dapat selesaikan pembinaan, pemilik tiada cagaran untuk dibuat kerana mereka membeli bangunan, bukan tanah.

“Semua kaedah yang ada sekarang menggambarkan seolah-olah tiada risiko projek perumahan tersebut akan terbengkalai dan pembeli terdedah kepada kerugian sekiranya pemaju tidak dapat menyelesaikan projek,” katanya kepada Mingguan Malaysia dalam Simposium Harta­nah Utusan 2017 di sini hari ini.

Turut hadir sama, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalannya, Datuk Othman Mohamad dan Pengarah Urusan Medi-mesra Care Management Sdn. Bhd., Datuk Nor’ashikin Taib.

Jayaselan berkata, kementerian kini sedang mencadangkan kaedah sewa beli untuk tanah wakaf bagi memastikan bank dapat mengambil alih projek di atas tanah wakaf yang terbengkalai.

“Untuk sewa beli kita memerlukan nilai modal yang besar dan dilihat sekarang bank yang boleh menjalankan kaedah sewa beli adalah Bank Islam. Ertinya apabila bank membeli tanah itu, sekiranya pemaju tidak boleh selesaikan projek, bank boleh menggunakan baki wang pembeli untuk meneruskan pembinaan projek tersebut,” katanya.

Menurut Jayaselan lagi, tanah wakaf perlu dimajukan seiring dengan pe­ningkatan tanah yang diwakafkan supaya nilai tanah tersebut tidak akan hilang.

“Tanah wakaf ini apabila ada pihak ambil alih untuk majukan, kos tanah tiada jadi harga rumah akan jadi murah jadi kita amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin memajukan tanah wakaf ini sekali gus dapat meningkatkan pemilikan harta tanah sebanyak 68 peratus bumiputera di negara ini,” katanya.