Pelaburan tersebut melibatkan sektor kejuruteraan plastik, pengkhususan kimia dan berasaskan polimer yang dilihat strategik untuk pembangunan negeri ini.

Empat syarikat dari negara Matahari Terbit itu dijangka melabur di Taman Perindustrian Tanjung Langsat di Pasir Gudang.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaburan itu diyakini dapat memberi manfaat ekoran limpahan ekonomi kepada rakyat ne­geri ini, khususnya dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan berkaitan.

“Keyakinan syarikat-syarikat terkemuka dari negara luar seperti itu yang terus menyatakan hasrat melabur di Johor membuktikan mereka terus mempunyai kepercayaan terhadap potensi yang ada di negeri ini.

“Dengan kredibiliti yang ada pada JCorp, saya yakin pelaburan itu akan mampu dimuktamadkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Pengerusi JCorp kini berada di Tokyo, Jepun mengetuai de­le­gasi kerajaan negeri bagi me­muktamad­kan pelaburan dengan jumlah keseluruhan hampir RM2 bilion dari negara itu.

Yang turut menyertai delegasi itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud dan Presiden dan Ketua Eksekutif Jcorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Sementara itu, Kamaruzzaman menyifatkan pelaburan itu jelas menggambarkan usaha JCorp selama ini dipandang tinggi oleh para pelabur besar dari luar negara, sekali gus terus diberi kepercayaan oleh mereka.

"Sebagai konglomerat kerajaan negeri, JCorp akan terus komited dalam usaha menarik pelaburan luar ke Johor selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menjadikan Johor sebagai kuasa baharu ekonomi negara," katanya.