Ketua Komersial AirAsia, Spencer Lee berkata, kempen itu merupakan usaha AirAsia bagi menggalakkan generasi muda untuk mempamerkan bakat de­ngan cara yang menyeronokkan, serta diharap dapat memberi ilham kepada mereka.

“Kerjasama dengan Ejen Ali ini menyediakan pengalaman indah kepada kanak-kanak untuk mengejar impian mereka, kami akan terus mencari cara inovatif untuk memberi inspirasi kepada pemimpin generasi akan datang itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Adam Rashidi Mohd. Rafiq muncul pemenang pertandingan itu membawa pulang hadiah utama berupa sejuta mata ganjaran BIG, bersamaan dengan tiket penerbangan percuma untuk seluruh keluarga selama satu tahun.

Kempen bermula September tahun lalu itu menjemput ibu bapa berkongsi video anak mereka beraksi sambil memperlihatkan empat nilai murni iaitu beraspirasi tinggi, mesra, bijak berbelanja dan baik hati di laman sosial.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar berkata, pelancaran itu merupakan peristiwa yang bermakna buat Ejen Ali kerana menjadi siri animasi tempatan pertama terbang tinggi bersama AirAsia.

“Kami berbangga dengan pencapaian Ejen Ali sebagai wakil industri animasi Malaysia, dan berharap lebih ramai kanak-kanak serata dunia akan tertarik dengan aksi hero cilik ini, selain mendorong mereka mencapai impian,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation, Usamah Zaid Yasin berkata, pihak­nya berharap kerjasama dengan Air­Asia itu akan mendorong perkembangan yang lebih pesat untuk industri animasi di Malaysia khususnya.

Yang turut hadir ialah Pengarah Jualan dan Strategi Media Prima, Nini Yusof dan Pengarah Tonton, Perlesenan dan Perdagangan, Airin Zainul.