Menurut JCorp, pembangunan jejantas bertingkat tersebut dengan nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM120 juta,dijangka bermula pada 2018 untuk tempoh dua tahun dan akan diserahkan kepada pengurusan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru sebaik ia siap.

Katanya, jejantas pejalan kaki sepanjang 268 meter akan dibina bagi menghubungkan JB Sentral ke Persada Annexe melalui Komtar JBCC dan dijangka siap dalam masa 18 bulan dan akan diuruskan berasaskan tempoh konsesi.

Ujarnya, Persada Annexe pula akan menempatkan peniaga runcit dalam ruang khas seluas 83,000 kaki persegi dan akan dihubungkan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin Johor Bahru menerusi Komtar JBCC dan City Square Mall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor dan akan turut dihubungkan ke Coronation Square dan Galleria.

“Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur awam tersebut merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Bersepadu Infrastruktur dalam Pelan Induk IIBD bagi memudahkan akses kenderaan dan juga pejalan kaki, di samping menyediakan ruang niaga runcit yang kondusif, selesa dan selamat di Pusat Bandaraya Johor Bahru,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Majlis pecah tanah telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim semalam.

Kata JCorp, pembangunan infrastruktur awam muncul sebagai satu tumpuan utama untuk memastikan IIBD menjadi lokasi pilihan yang membolehkan warganya dan komuniti perniagaan untuk berkembang maju.

“Di bawah teras mobiliti bagi Pelan Induk IIBD, pembangunan dan usaha naik taraf infrastruktur awam akan melibatkan penyediaan kemudahan laluan dan hubungan bagi kenderaan dan pejalan kaki,” ujarnya.

Katanya, jejantas bertingkat yang dibina akan bermula dari Koridor Tebrau ke pusat Bandaraya Johor Bahru, menghubungkan IIBD ke Coronation Square.

“Penjajaran jalan baharu bagi Jejantas Bertingkat “8” ini akan memberikan laluan langsung yang lebih dekat untuk melancarkan aliran lalu-lintas, justeru memudahkan orang ramai memasuki pusat bandar raya lantas menangani masalah kesesakan lalu-lintas menerusi reka bentuk dan penjajaran jalan yang lebih baik,” katanya.