Pengeluaran nanas MD2 de­ngan jenama Melita oleh Kulim itu dijalankan di ladang milik mereka, Kulim Pineapple Farm (KPF) di Ulu Tiram di sini dan anak syarikatnya, Renown Value Sdn. Bhd. di Ladang Selai dekat Kluang.

Pengurus Besar KPF, Moha­mad Yami Bakar berkata, sasaran jumlah hasil pengeluaran na­nas MD2 sebanyak 3,800 tan metrik pada 2019 itu menyaksikan peningkatan sebanyak 200 tan metrik daripada 3,600 tan metrik yang disasarkan tahun ini.

Pada tahun ini sehingga Ogos, syarikat telah mengeluarkan 2,582 tan metrik nanas dan dijangka mampu mencapai 3,600 tan metrik akhir tahun ini, jumlah tersebut meningkat berbanding 2,176 tan metrik nanas dikeluarkan pada 2017.

“Kulim terus mengorak langkah dalam mengembangkan penanaman nanas dan sehingga kini terdapat 360 hektar tanaman nanas MD2 diusahakan secara komersial di Ulu Tiram di sini, Kluang dan terbaharu di Tanah Abang, Mersing.

“Syarikat kini dalam perancangan untuk meluaskan tanaman kepada 1,000 hektar menje­lang tahun 2021,” katanya berucap semasa lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub ke KPF di Ulu Tiram di sini semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamad Yami berkata, pengeluaran benih nanas MD2 juga me­ningkat dari 2017 iaitu sebanyak 3.4 juta benih kepada 4.4 juta benih yang disasarkan pada tahun ini yang mana sehingga Ogos telah mencapai 2.6 juta benih.

Menurutnya, buat masa ini, jenama Melita sudah menembusi pasaran antarabangsa antaranya ke Emiriah Arab Bersatu, Oman, Iran, Mesir, Arab Saudi, Jordan, Lebanon, Pakistan, Turki, Hong Kong, Singapura, Korea Selatan dan terbaharu ke Kuwait selain bakal menembusi pasaran China tidak lama lagi.